Mekanik maut dirempuh lori ketika bantu tukar tayar treler

11 May 2026 • 7:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mekanik maut dirempuh lori ketika bantu tukar tayar treler
Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan lori dan treler di Kilometer 119.5 LPT1 arah barat pada Isnin. Foto Polis Temerloh
Image from: Mekanik maut dirempuh lori ketika bantu tukar tayar treler
Treler jenis CAMC berhenti di lorong kecemasan kerana tayar belakang sebelah kiri pancit. Foto Polis Temerloh
Image from: Mekanik maut dirempuh lori ketika bantu tukar tayar treler
Keadaan lori jenis Hino yang terbabas selepas bergesel dengan treler dan merempuh mangsa. Foto Polis Temerloh

TEMERLOH - Seorang mekanik maut dirempuh lori ketika membantu menukar tayar sebuah treler yang pancit di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat di sini pada Isnin.

Dalam nahas kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 48 tahun dari Taman Bukit Mentakab, Mentakab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kemalangan itu, dua pemandu lori berusia 35 dan 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

**media[3517446]**

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu treler jenis CAMC berhenti di lorong kecemasan kerana tayar belakang sebelah kiri pancit.

"Ketika kejadian, mangsa sedang memeriksa tayar di bahagian tengah di kanan lori untuk membuat pertukaran dengan tayar belakang yang pancit.

"Lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama bergesel dengan treler sebelum melanggar mangsa yang berada di atas jalan dan sedang memeriksa tayar sebelum terbabas ke kiri," katanya.

**media[3517447]**

Mohd Nasyim berkata, pemandu lori Hino terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.