Risda sasar produktiviti getah 1,500 kg sehektar menjelang 2030

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 1:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Risda sasar produktiviti getah 1,500 kg sehektar menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyasarkan produktiviti getah pekebun kecil mencapai 1,500 kilogram sehektar setahun menjelang 2030 bagi menyumbang kepada aspirasi pengeluaran getah negara sebanyak satu juta tan metrik setahun.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Risda melaksanakan Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM) dengan menyediakan bantuan baja, peralatan menoreh, bahan rangsangan lateks dan penyelenggaraan bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil.

Katanya, usaha itu turut diperkukuh melalui FASGET, Pemasaran Getah Bergerak (PGB), pemasaran berkelompok serta pendekatan Pembeli Getah Utama (Anchor Buyer) bagi memudahkan pemasaran dan membantu pekebun kecil memperoleh harga getah yang kompetitif.

“Seterusnya, RISDA akan melaksanakan Program Pengeluaran Getah Madani (PPGM) sebagai strategi berasaskan pengeluaran bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.

“Bagi penanaman semula, RISDA melaksanakan Program Tanam Semula Getah (PTSG) bagi menggantikan pokok getah tua dan tidak lagi ekonomik dengan bahan tanaman berkualiti serta klon berpenghasilan tinggi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berhubung strategi RISDA menangani kemerosotan pengeluaran getah negara serta sasaran produktiviti getah pekebun kecil menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, Risda turut melaksanakan Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar (PGT) bagi membolehkan kebun terbiar dan tidak bertoreh yang masih berpotensi diusahakan semula serta menyumbang kepada pengeluaran getah negara.

Katanya, usaha menangani kekurangan penoreh turut menjadi perhatian bagi memastikan lebih banyak kawasan getah matang dapat diaktifkan dan ditoreh secara berterusan.

“Risda memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran dan kecekapan penorehan serta menggalakkan penglibatan tenaga kerja dalam aktiviti penorehan.

“Dalam aspek penyakit pula, Risda menyediakan bantuan Rawatan Penyakit Getah (RPG) bagi menangani antaranya penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis dan Penyakit Akar Putih, di samping khidmat nasihat serta bimbingan teknikal kepada pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN

The post Risda sasar produktiviti getah 1,500 kg sehektar menjelang 2030 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved