johardy20/10/2026 - 18:30 KUALA LUMPUR 20 Okt - Malaysia memerlukan tambahan kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui (RE) antara 1,500 hingga 2,000 megawatt (MW) bagi mencapai sasaran 35% kapasiti terpasang RE menjelang 2030, menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
Ketua Pegawai Strategi SEDA, Saiful Hakim Abdul Rahman berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan sokongan pelbagai program tenaga solar termasuk program Solar Berskala Besar (LSS), khususnya LSS5 yang menawarkan kuota dua gigawatt (GW) atau 2,000 MW kapasiti solar.
Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai sumber tenaga solar yang mencukupi serta pelbagai pilihan pembiayaan bagi menyokong projek RE, aspek daya maju projek untuk mendapatkan pembiayaan bank dan keupayaan kewangan syarikat pelaksana masih menjadi cabaran.
"Antara cabaran lain ialah mendapatkan sambungan kepada grid elektrik kerana kebanyakan sumber tenaga kita bergantung kepada lokasi tertentu.
"Oleh itu, sambungan sumber tenaga berkenaan bergantung kepada ketersediaan infrastruktur grid di lokasi tersebut.
"Atas sebab itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) diperuntukkan kira-kira RM15 bilion untuk meningkatkan infrastruktur grid bagi membolehkan lebih banyak sambungan dan penggunaan RE dalam sistem bekalan elektrik," katanya kepada Bernama ketika mengadakan lawatan ke ibu pejabat agensi berita nasional itu hari ini.
Kapasiti RE negara hampir 32%
Pada Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kapasiti terpasang RE Malaysia telah mencapai hampir 32% setakat Jun, sekali gus meletakkan negara pada landasan untuk mencapai sasaran 35% menjelang 2030.
Mengulas insentif berkaitan RE yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, Saiful Hakim berkata, peruntukan kerajaan dijangka menggalakkan lebih banyak pemain industri menyertai usaha peralihan tenaga negara.
"Peruntukan yang disediakan kerajaan akan membantu lebih banyak pemain industri menyertai peralihan tenaga dengan membangunkan ladang solar sendiri, selain mendapat jaminan pembeli tenaga daripada bangunan kerajaan.
"Pada masa sama, langkah ini akan mempercepat peralihan tenaga dan meningkatkan penggunaan RE di negara ini. Kita juga sudah menetapkan sasaran mencapai 70% menjelang 2050," katanya.
SEDA merupakan badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Utiliti Awam yang bertanggungjawab mentadbir serta mengurus pelaksanaan mekanisme Tarif Galakan (FiT).
Saiful Hakim berkata, mekanisme FiT membolehkan pemain industri RE, termasuk sektor hidroelektrik berskala kecil dan biotenaga, membangunkan loji janakuasa berdasarkan kuota yang diperuntukkan.
Latihan tenaga mahir sokong pertumbuhan industri solar
Beliau berkata, SEDA turut menyokong perkembangan industri solar melalui pembangunan modul latihan dan kerjasama dengan pelbagai rakan latihan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Kemahiran Belia Negara, kerajaan negeri serta institusi latihan swasta.
Kerjasama itu bertujuan menyediakan latihan bertauliah dan memperluas kumpulan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri berkenaan.
"Kami juga mempunyai pasukan penyelidikan sendiri yang menjalankan kajian terhadap teknologi baharu dan dasar berkaitan bagi mengenal pasti program, mekanisme serta teknologi paling sesuai untuk diperkenalkan di negara ini," katanya. — Bernama





