RISDA sumbang kit jenazah kepada 26 masjid di Tenggara

20 Sep 2026 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RISDA sumbang kit jenazah kepada 26 masjid di Tenggara
Manndzri (dua, kanan) bersama kakitangan dan murid dari Sekolah Kebangsaan Felda Pengeli Timur yang menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Husna Bandar Tenggara, pada Ahad.
Image from: RISDA sumbang kit jenazah kepada 26 masjid di Tenggara
Image from: RISDA sumbang kit jenazah kepada 26 masjid di Tenggara
Mandzri (kanan) turut menyertai konvoi motosikal sejauh lebih lima kilometer dari Masjid Darun Nadwah, Felda Penggeli Timur ke Sekolah Menengah Agama Bandar Tenggara.

KOTA TINGGI - Sebanyak 26 masjid di kawasan Parlimen Tenggara menerima sumbangan kit jenazah daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah di masjid berkenaan.

Ahli Parlimen Tenggara yang juga merupakan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat RISDA dalam usaha menyemarakkan aktiviti keagamaan dalam komuniti setempat.

“Kit ini sangat diperlukan untuk memastikan pengurusan jenazah dapat berjalan lancar dan kita akan meneruskan sumbangan ini pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sumbangan itu disampaikan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Tenggara dan Risda yang berlangsung di Masjid Al-Husna, Bandar Tenggara, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah RISDA Negeri Johor, Mohd Khairuddahri Abd Rahman.

Sebelum itu, kira-kira 1,000 peserta menyertai sambutan berkenaan yang dimulakan dengan konvoi motosikal sejauh lebih lima kilometer dari Masjid Darun Nadwah, Felda Penggeli Timur ke Sekolah Menengah Agama Bandar Tenggara.

Konvoi yang diketuai Manndzri itu bermula kira-kira jam 8 pagi sebelum peserta meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki dari sekolah berkenaan ke Masjid Al-Husna.

Menurut Manndzri, sambutan Maulidur Rasul kali ini diadakan secara besar-besaran di kawasan ini dengan pelbagai pengisian termasuk forum perdana bagi menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah SAW.

**media[3653459]**

Sementara itu, wakil Masjid Kampung Desa Makmur, Juffri Juraimi, 74, berkata, sumbangan kit jenazah itu amat diperlukan pihak masjid bagi memastikan keperluan pengurusan jenazah sentiasa mencukupi.

“Terima kasih kepada YB Manndzri dan RISDA. Saya percaya pihak pengurusan masjid akan memanfaatkan sumbangan ini, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan masjid untuk mendapatkan keperluan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Agama Bandar Tenggara dinobatkan sebagai juara pertandingan perarakan serta memenangi kategori sepanduk terbaik pada sambutan berkenaan.

Penolong Pegawai Pentadbiran sekolah, Rosman Idris berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira enam jam untuk membuat persiapan bagi pertandingan itu.

Katanya, seramai 33 pelajar diiringi guru dan kakitangan menyertai pertandingan berkenaan.

“Alhamdulillah, tidak sangka kami menang kerana semalam memang sangat sibuk. Pelajar ada urusan luar, jadi kami bertungkus-lumus menyiapkannya pada waktu malam,” katanya.

**media[3653460]**

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved