
SEBANYAK 56,752 kes denggi direkodkan setakat 13 Ogos tahun ini, dengan 49 kematian dilaporkan sehingga 9 Ogos lalu. Kementerian Kesihatan mengaitkan peningkatan ini dengan corak kitaran denggi dan perubahan jenis virus, di mana DENV-3 kini menjadi dominan di seluruh negara.
Di tengah-tengah lonjakan kes ini, golongan yang menghidap penyakit kronik berdepan dengan risiko kesihatan lebih serius sekiranya dijangkiti denggi.
Satu kajian terhadap pesakit dewasa yang dimasukkan ke hospital di Utara Vietnam mendapati mereka mempunyai kebarangkalian dua kali ganda untuk mengalami denggi teruk.
Kajian lain di Brazil pula menunjukkan bahawa dalam kalangan pesakit denggi berusia sembilan hingga 45 tahun yang dimasukkan ke hospital, kadar kematian adalah 11 kali lebih tinggi bagi mereka menghidap penyakit kronik tertentu.
Menurut pemerhatian Pakar Perubatan Kecemasan, Dr. Ganasan Chelladurai, beliau mendapati bahawa pesakit yang paling terjejas ialah warga emas mengalami obesiti dan diabetes.
“Denggi mungkin bermula dengan gejala biasa seperti demam, sakit badan dan rasa letih atau lesu. Namun bagi sesetengah orang, denggi boleh menjadi semakin teruk sebaik sahaja demam mula reda.
“Antara tanda amaran yang memerlukan perhatian perubatan segera termasuklah muntah atau cirit-birit yang berterusan (lebih tiga kali), sakit perut teruk, pendarahan spontan, sukar bernafas, rasa lemah ketara, kelesuan atau kekeliruan, hilang selera makan atau kesihatan merosot secara mendadak,” katanya.
Sebagai pakar perubatan kecemasan, beliau sering berdepan dengan pesakit pada saat genting iaitu apabila gejala menjadi semakin teruk, berlaku pendarahan atau tekanan darah terlalu rendah yang memerlukan rawatan segera dan penjagaan rapi.
Jelas Dr. Ganasan, penyakit kronik boleh menyebabkan badan kurang berupaya untuk melawan jangkitan.
Masalah kesihatan seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau buah pinggang dan obesiti dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami denggi teruk, walaupun tahap risikonya berbeza mengikut jenis penyakit dan individu.
Tegasnya, ini bukan bermakna setiap individu yang menghidap penyakit kronik akan mendapat denggi teruk atau individu sihat tidak berisiko.

Namun, mereka yang mempunyai masalah kesihatan disaran mendapatkan nasihat perubatan lebih awal dan mungkin memerlukan pemantauan lebih rapi.
“DENV-3 tidak semestinya lebih mudah berjangkit atau lebih berbahaya berbanding jenis virus denggi yang lain. Kepentingannya terletak pada imuniti populasi, mereka yang belum pernah dijangkiti DENV-3, masih terdedah dan berisiko untuk mengalami jangkitan virus ini.
“Demam denggi akan menjadi lebih teruk jika mereka pernah mengalami jangkitan jenis virus yang berbeza sebelum ini,” terangnya.
Beliau turut memaklumkan, perubahan jenis virus boleh menyebabkan lebih ramai orang terdedah kepada jangkitan dan menyumbang kepada penularan yang lebih meluas.
Sementara penyakit kronik pula merupakan faktor berasingan yang boleh mempengaruhi tahap keterukan jangkitan denggi yang dialami oleh seseorang.
Beliau berpendapat, walau apa pun jenis virus yang menular, perkara penting dari sudut klinikal adalah menilai pesakit secara menyeluruh seperti umur, penyakit sedia ada, sejarah jangkitan denggi dan berapa cepat keadaan kesihatan mereka berubah.
Dr. Ganasan juga menyarankan beberapa langkah penting untuk melindungi diri dan keluarga daripada denggi.
“Antara yang boleh dilakukan adalah membuang air yang bertakung, menutup bekas simpanan air, menggunakan bahan penghalau nyamuk dan jaring penghalang serangga serta memakai pakaian melindungi tubuh, selain menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan.
“Selain itu, vaksinasi pula boleh memberi perlindungan tambahan dengan mengurangkan risiko mendapat denggi dan kemasukan ke hospital akibat denggi.
“Orang ramai juga boleh berbincang dengan pengamal penjagaan kesihatan mengenai kesesuaian vaksinasi untuk mereka berdasarkan garis panduan ditetapkan di Malaysia,” katanya.
The post Risiko berganda denggi kepada pesakit kronik appeared first on Kosmo Digital.






