
PETALING JAYA – Penganjuran majlis berskala besar perlu disertai perancangan keselamatan dan kesiapsiagaan perubatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook berkata, kehadiran lebih 15,000 pengunjung ke Kenduri Rakyat Syed Saddiq dan Bella Astillah di Muar, Johor, minggu lalu mengingatkan orang ramai mengenai risiko kesihatan dan keselamatan dalam perhimpunan besar.
Menurutnya, satu hantaran di Threads mendakwa tujuh kes strok haba dan dua kes tekanan darah terlalu tinggi dilaporkan ketika majlis berkenaan, namun angka dan diagnosis itu belum disahkan secara rasmi.
“Ukuran kejayaan bukan sekadar berapa ramai yang datang. Yang paling penting, semuanya dapat pulang dengan selamat
“Antara risiko yang perlu diberi perhatian ialah keracunan makanan, strok haba, kecemasan penyakit kronik, rempuhan orang ramai serta laluan ambulans yang terhalang,” kata PHM.
Kata PHM, risiko berkenaan bukan bermaksud semuanya berlaku dalam majlis itu, sebaliknya perlu dipertimbangkan dalam perancangan acara besar.
Sehubungan itu, pengurusan keselamatan rapi dan kehadiran pasukan perubatan penting bagi memastikan kebajikan pengunjung terpelihara. – KOSMO! ONLINE
The post Risiko kesihatan, keselamatan pengunjung perlu dijaga appeared first on Kosmo Online.




