
PETALING JAYA: Aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu dan PINTAZ perlu menawarkan lebih banyak kemudahan untuk membantu pengguna merancang perjalanan.
Malah, pembangunan aplikasi tersebut perlu disertai usaha membina kepakaran teknologi sendiri supaya tidak sekadar meniru Waze.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, aplikasi tempatan boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih luas daripada sekadar menunjukkan arah dan laluan.
Katanya, maklumat parkir, cuaca, amaran banjir dan pengangkutan awam boleh digabungkan dalam satu aplikasi bagi membantu pengguna merancang perjalanan berdasarkan kos, masa serta keselamatan.
Beliau yang juga aktivis pengangkutan lestari dan keselamatan jalan raya berkata, usaha itu berpotensi membuka peluang perniagaan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta membolehkan teknologi tempatan dipasarkan ke negara serantau.
“TuJu dan PINTAZ sewajarnya dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina ekosistem yang lebih luas, bukan destinasi akhir dasar digital negara.
“Peluangnya merangkumi pemetaan, analisis trafik, pengurusan armada, teknologi parkir dan perancangan perjalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Shahrim, arahan kerajaan mengehadkan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi atas faktor keselamatan data sepatutnya menjadi pencetus kepada pembangunan teknologi sendiri.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengguna tidak boleh diminta untuk bertukar aplikasi atas alasan aplikasi tersebut buatan Malaysia semata-mata.
Katanya, pengguna kini lebih bijak menilai dan mahukan perkhidmatan yang pantas, tepat, mudah digunakan serta boleh dipercayai.
Beliau berkata, aplikasi itu boleh membantu pengguna membandingkan masa dan kos perjalanan ke beberapa destinasi, termasuk perbelanjaan bahan api, tol serta parkir, selain menyediakan kemudahan tempahan dan pembayaran dalam satu aplikasi.
Menurutnya, maklumat cuaca dan risiko banjir juga dapat membantu pengguna memilih waktu bertolak serta laluan yang sesuai, namun maklumat tersebut perlu disahkan dan sentiasa dikemas kini demi keselamatan pengguna. –UTUSAN
The post Aplikasi navigasi tempatan jangan sekadar tiru Waze appeared first on Utusan Malaysia.





