
PETALING JAYA – Tidak perlu pening kepala mencari pengasuh apabila mahu menghadiri kenduri perkahwinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi, Bella Astillah di Muar, Johor pada Ahad ini.
Seorang pengguna Threads, Siti Azieraa menawarkan perkhidmatan menjaga anak-anak tetamu yang ingin menghadiri majlis berkenaan dengan kadar serendah RM20 bagi tempoh sejam.
Menerusi hantaran di Threads, Siti Azieraa memaklumkan perkhidmatan itu disediakan pada 25 Oktober ini, malah kediamannya terletak bersebelahan lokasi majlis perkahwinan pasangan berkenaan.
“Babysitter available (penjagaan kanak-kanak tersedia) 25 Oktober di Muar. Siapa nak pergi kenduri BASS tapi takda orang nak jaga anak, boleh DM kita. Rumah sebelah venue wedding (lokasi perkahwinan) BASS. Booking (tempah) awal tak kalut gais!” tulisnya.
Menurut hantaran itu, kadar bayaran ditetapkan RM20 sejam, RM50 bagi tiga jam, RM80 untuk enam jam, manakala perkhidmatan sehari penuh ditawarkan pada harga RM130.
“Overnight babysitting (penjagaan anak semalaman) RM160. Terhad lima kanak-kanak je. Siap aktiviti tau,” katanya.
Selain itu, dia turut menawarkan dua bilik untuk disewa kepada tetamu yang memerlukan tempat penginapan, masing-masing sebuah bilik berhawa dingin dan sebuah lagi tanpa kemudahan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Syed Saddiq dan Bella Astillah merancang meraikan hari bahagia mereka menerusi majlis resepsi bertemakan ‘Kenduri Rakyat’ di Muar pada 25 Oktober ini, sebelum meneruskan sambutan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober depan.
Majlis berkenaan turut menyediakan makanan serta beg cenderahati sebanyak 10,000 tetamu terawal. – KOSMO! ONLINE
The post 3 jam RM50 upah jaga anak tetamu kenduri BASS appeared first on Kosmo Online.






