Rivola kagum jiwa besar Bezzecchi

10 Aug 2026 • 1:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rivola kagum jiwa besar Bezzecchi

SILVERSTONE: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia, Massimo Rivola menyifatkan Marco Bezzecchi sebagai pelumba yang berjiwa besar selepas bangkit mempamerkan aksi luar biasa untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Britain, semalam.

Kejayaan Bezzecchi menduduki podium itu dianggap satu keajaiban memandangkan pelumba Itali tersebut dilaporkan bergelut dengan kesakitan melampau akibat kecederaan tulang selangka dan lutut yang dialaminya sebelum rehat musim panas.

Lebih manis, pencapaian itu sekali gus menamatkan rentetan keputusan hambar Bezzecchi yang gagal menamatkan empat perlumbaan berturut-turut sejak mencatatkan kemenangan di Mugello, Mei lalu.

Mendedahkan perkara itu, Rivola mengakui dia sendiri kagum melihat keupayaan Bezzecchi yang mampu bersaing di kelompok hadapan meskipun keadaan fizikalnya sangat meragukan sebelum perlumbaan bermula.

“Apabila anda melihat seorang pelumba yang sukar untuk berjalan pada sebelah pagi, namun mampu berlumba seperti itu, anda boleh bayangkan betapa besarnya hati dan keberanian yang dimilikinya.

“Kita sedang bercakap tentang individu yang istimewa. Saya benar-benar kagum dengan apa yang dilakukan Marco hari ini (semalam). Dia adalah contoh terbaik semangat juang tinggi buat pasukan kami,” katanya.

Kejayaan Bezzecchi itu turut melengkapkan hari gemilang buat Aprilia apabila mereka berjaya menyapu bersih kedudukan podium 1-2-3 di Litar Silverstone.

Dalam pada itu, Bezzecchi mengakui tempoh pemulihannya adalah fasa yang sangat sukar, terutama apabila terpaksa berdepan dengan kritikan luar dan keraguan terhadap kemampuan diri sendiri.

“Jujurnya, ia sangat mencabar. Selepas kemalangan ngeri di Assen dan Sachsenring, badan saya terasa seperti hancur. Apabila anda melalui tempoh seperti ini, banyak perkara negatif bermain di fikiran.

“Bagaimanapun, keluarga, rakan-rakan dan akademi (VR46) sentiasa memberi sokongan. Bagi saya, apabila menyarung topi keledar, ia seolah-olah memakai penyumbat telinga. Segala bunyi (kritikan) di luar hilang dan saya hanya fokus kepada perlumbaan. Ia perasaan yang sangat indah,” katanya. – AGENSI

The post Rivola kagum jiwa besar Bezzecchi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved