Rizab antarabangsa BNM merosot tiga bulan berturut-turut ekoran rizab mata wang asing di paras terendah sejak Oktober 2022 – Kenanga Research

Business & Finance
8 Nov 2023 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rizab antarabangsa BNM merosot tiga bulan berturut-turut ekoran rizab mata wang asing di paras terendah sejak Oktober 2022 – Kenanga Research

diyana

08/11/2023 - 12:30

KUALA LUMPUR 8 Nov - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) merosot untuk bulan ketiga berturut-turut disebabkan penurunan rizab mata wang asing ke paras terendah sejak Oktober 2022.

Kenanga Research berkata rizab antarabangsa BNM jatuh 1.5% bulan ke bulan (MoM) atau AS$1.6 bilion kepada paras terendah satu tahun AS$108.5 bilion pada 31 Oktober 2023.

Ini dikaitkan dengan penurunan rizab mata asing sebanyak 1.6% MoM atau AS$1.6 bilion kepada AS$96.5 bilion.

“Rizab mata wang asing menyusut ke paras terendah sejak Oktober 2022 disebabkan oleh campur tangan bank pusat yang berterusan, kejatuhan nilai pertukaran mata wang asing lain kepada dolar Amerika Syarikat (AS), pengurangan penerimaan eksport dan kemungkinan kenaikan aliran keluar modal portfolio.

“Secara ketara, rizab mata wang asing bersih BNM jatuh ke paras terendah 11 bulan AS$ 6.7b pada September berikutan kedudukan jual dalam swap pertukaran mata wang asing melebar kepada AS24.1 bilon (Ogos: USD22.9b),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dari segi ringgit, Kenanga Research berkata nilai rizab BNM susut lagi sebanyak RM7.8 bilion atau 1.5% MoM kepada RM509.4 bilion.

Menurut firma itu, walaupun asas makroekonomi Malaysia yang teguh dan prestasi KDNK China yang lebih baik daripada jangkaan, ringgit menyusut ke paras paling lemah pada rekod pada Oktober, melepasi ambang psikologi 4.70 sedolar.

Jelasnya, ini boleh dikaitkan dengan pelebaran negatif perbezaan hasil bon kerajaan Malaysia-Amerika Syarikat 10 tahun, yang mencapai purata -72.1 mata asas, didorong oleh kebimbangan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang hawkish dan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah .

Sementara itu, Kenanga Research mengunjurkan kedudukan ringgit pada paras 4.44 sedolar pada akhir tahun ini.

Walaupun aktiviti ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus kukuh dan ketegangan geopolitik semakin meningkat mendorong permintaan untuk dolar AS, firma itu berkata terdapat tanda-tanda kelemahan yang jelas dalam ekonomi, terutamanya dalam pasaran buruh.

“Kami menjangkakan potensi peningkatan lagi dalam kadar pengangguran AS, menjadikan usaha Rizab Persekutuan (Fed) untuk memperlahankan pertumbuhan ekonomi semakin sukar dicapai.

Sebaik sahaja pasaran melihat lebih banyak bukti perkembangan ini, dolar AS berkemungkinan terus melemah, memberi manfaat kepada ringgit,” tambahnya. - DagangNews.com