
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 bagi menyelenggara dan membaik pulih semua prasarana hospital serta klinik awam termasuk menaik taraf klinik-klinik daif yang berbaki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, sebanyak sembilan fasiliti kesihatan baharu turut akan dibina antaranya Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian di Hospital Sultanah Aminah, Johor.
“Turut dibina ialah Pusat Pakar Pergigian di Kuching, Sarawak; Kompleks Kesihatan Bersepadu di Gerik, Perak dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Rembau, Negeri Sembilan.
“Bagi mempercepat diagnosis dan rawatan, lebih RM770 juta disediakan untuk perolehan peralatan canggih dan moden. Ini termasuk menaik taraf kemudahan hemodialisis di hospital seluruh negara serta perolehan 400 ambulans baharu kepada hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempercepat tindak balas kecemasan,” katanya dalam pembentangan dalam Belanjawan 2027 di sini hari ini.
Menurutnya, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) pula akan dilengkapkan dengan teknologi pembedahan robotik bagi memperluas rawatan kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.
“Sebanyak 18 Institut Latihan KKM turut menerima peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas bagi meningkatkan kemahiran lebih 20,000 pelatih serta petugas perubatan dan paramedic,” katanya.- UTUSAN
The post RM1.2 bilion selenggara, baik pulih prasarana hospital awam appeared first on Utusan Malaysia.






