Guru yang berdepan dakwaan mempunyai hubungan terlarang atau melakukan gangguan seksual terhadap murid akan diasingkan daripada persekitaran sekolah sepanjang siasatan dijalankan.

Foto: Berita Harian
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebagai langkah awal bagi mengelakkan mereka terus berurusan dengan murid.
Menurut beliau, tindakan berkenaan merupakan prosedur awal Kementerian Pendidikan (KPM) dalam mengendalikan dakwaan berkaitan salah laku seksual membabitkan guru dan murid.
“Kalau ada dakwaan berkaitan gangguan seksual dengan anak murid, memang guru itu kita akan siasat dan untuk tindakan awal, kita akan asingkan dengan murid.
“Maknanya guru itu tidak akan ditugaskan di sekolah lagi,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan membabitkan seorang guru wanita yang dipercayai menjalin hubungan terlarang dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Perkara itu dikatakan terbongkar selepas keluarga remaja berkenaan serta pihak sekolah mengetahui mengenai video yang membabitkan kedua-duanya.
Berdasarkan maklumat yang dilaporkan, hubungan tersebut dipercayai bermula sejak tahun lalu dan pasangan terbabit didakwa beberapa kali mendaftar masuk ke hotel di Seri Kembangan, selain bertemu di kediaman guru berusia 30-an itu.
Menurut sumber, pelajar berkenaan mendakwa guru terbabit pada awalnya mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan dan makan sebelum membawanya ke sebuah hotel di Seri Kembangan.
Guru berkenaan turut didakwa melakukan perbuatan seksual dan merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.
Mengulas mengenai tindakan lanjut, Mohd Azam berkata sekiranya laporan polis dibuat dan kes berkenaan dibawa sehingga ke peringkat sebutan di mahkamah, guru terbabit boleh dikenakan tindakan tahan kerja.
Artikel lain: Fadhlina ‘buang’ program tak perlu, mahu guru kembali fokus didik anak-anak
Katanya, sepanjang tempoh tahan kerja itu, guru berkenaan hanya akan menerima separuh daripada gaji.
“Tindakan awal ialah mengasingkannya dan ditempatkan di PPD serta JPN. (Tetapi) Misalnya ada dakwaan di peringkat polis, jadi kes ini akan mengikut prosedur jenayah.
“Kemudian jika ada sehingga ke sebutan kes, kita akan tahan kerja. Maknanya tahan kerja ini, guru berkenaan hanya akan menerima separuh daripada gajinya.
“Bila hukuman sudah dijatuhkan dan jika didapati bersalah, guru ini akan ikutlah hukuman yang diaturkan mahkamah. Di peringkat kita pula, tindakan tatatertib akan diambil sama ada buang atau sebagainya. Ini adalah prosedur biasa yang kita akan ambil bila ada kes seumpama ini,” tambahnya lagi.
Sumber: Berita Harian (Noor Atiqah Sulaiman)




