
KLUANG – Kementerian Ekonomi memperuntukkan RM127 juta bagi Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters dan Balai Polis seluruh negara bagi Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, daripada jumlah tersebut, RM44.35 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan balai polis manakala RM77.65 juta bagi pembaikan dan penyelenggaraan 3,716 unit kuarters di seluruh negara.
Manakala RM3.7 juta diperuntukkan termasuk untuk penambahbaikan 10 blok kuarters dan kerja pembaikan premis PDRM di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Jelasnya, sebelum itu Kementerian Ekonomi memperuntukkan RM122 juta bagi Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters dan Balai Polis seluruh negara bagi Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 RMK13 namun telah bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta melalui Notice of Change (NOC), menjadikan keseluruhan peruntukan projek ini meningkat daripada RM122 juta kepada RM127 juta.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memastikan pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, dengan memberi keutamaan kepada aset awam yang memerlukan intervensi dan mempunyai implikasi terhadap penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
“Pendekatan ini melihat prestasi aset secara menyeluruh sepanjang kitar hayatnya iaitu daripada perancangan dan pembinaan kepada operasi, penyelenggaraan, naik taraf dan akhir hayat aset. Ini akan mengambil kira asset condition, asset performance dan life-cycle costs bagi mengoptimumkan perbelanjaan kewangan Kerajaan,”katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Taman Perumahan Polis Daerah Kluang di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE
The post RM127 juta selenggara kuarters, balai polis seluruh negara appeared first on Kosmo Online.





