
KOTA MARUDU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (Mindet) memberi peruntukan khas RM15,000 di bawah Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan kementerian itu bagi membantu sebuah perusahaan sosial di Kampung Tonsom, di sini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan itu ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke Perusahaan Farni (One Day Station) dan Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Tonsom, Selasa lepas.
Perusahaan Farni mengusahakan produk berasaskan jagung dan sisa daun jagung, selain membimbing golongan ibu di kampung berkenaan menghasilkan produk kraf daripada sisa daun jagung.
Ewon berkata perusahaan sosial itu bukan sahaja mewujudkan peluang menjana pendapatan kepada komuniti setempat, malah berjaya membangunkan model keusahawanan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita di luar bandar.
“Saya berbangga melihat usaha dan perjuangan perusahaan ini yang kini menerima tempahan daripada tiga hotel bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu. Produk mereka juga menjadi sebahagian daripada dekorasi di hotel-hotel berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pusat itu turut membeli hasil kraf yang dihasilkan oleh golongan ibu di kampung berkenaan sebelum memasarkannya.
Pada masa sama, Ewon berkata beliau telah mendapatkan sokongan Institut Keusahawanan Negara (Insken) untuk meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada perusahaan sosial itu.
“Saya berterima kasih atas maklum balas segera daripada INSKEN yang akan mengunjungi perusahaan ini bagi meneliti bentuk sokongan yang boleh diberikan,” katanya.
Beliau berharap usahawan sosial Farni Milis bersama komuniti wanita yang terlibat dalam perusahaan itu terus mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.
Terdahulu, Ewon turut menyampaikan replika cek Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Mindet bernilai RM20,000 kepada Persatuan Penduduk Kampung Tagaroh, Kota Marudu bagi menganjurkan program keusahawanan untuk ahli-ahli persatuan.





