
Kota Kinabalu: Empat pemilik syarikat dan seorang eksekutif pemasaran didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pausia Abu, 49, Arzeanti Jafar, 40, Nur Farhanah Jamil, 38, Mohd Azhar Ramali, 39, dan eksekutif pemasaran, Foo Fong Kent, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A. Dadi.
Foo berdepan tiga pertuduhan manakala Pausia dan Mohd Azhar masing-masing menghadapi dua pertuduhan. Arzeanti dan Nur Farhanah pula masing-masing didakwa atas satu pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan mereka didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso sebagai sebahagian daripada permohonan tuntutan insentif di bawah program berkenaan.
Mereka didakwa mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen yang dikemukakan mengandungi butiran palsu dengan niat untuk mengelirukan pihak prinsipal.
Foo didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Mei hingga 9 Oktober 2024 di Infinity Profit Enterprise, Warisan Square, Jalan Tun Fuad Stephens.
Pausia selaku pemilik Hajah Yanong Enterprise didakwa melakukan kesalahan pada 15 dan 18 Mac 2024 di Kilang SME Bank, Jalan Papar.
Mohd Azhar, pemilik Cyber Vision Enterprise pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Jun dan 14 Ogos 2024 di premis Alamesra Plaza Utama, Jalan UMS.
Arzeanti, pemilik Tasek Emas Enterprise didakwa melakukan kesalahan pada 6 Ogos 2024 di Desa Sri Taman Laya-Laya, Tuaran.
Sementara itu Nur Farhanah, pemilik Afijay Bersatu didakwa melakukan kesalahan pada 19 Ogos 2024 di Jalan Tuaran Bypass, Manggatal.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu berkenaan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk pengurusan kes dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin tempatan.
Foo dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM7,000 manakala Pausia dan Mohd Azhar masing-masing dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000.
Arzeanti pula dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan deposit RM4,000 sementara Nur Farhanah dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan deposit RM3,500.
Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi Arzeanti pada 12 hingga 16 Oktober, Foo pada 19 hingga 23 Oktober, Pausia pada 12 hingga 14 Oktober, Mohd Azhar pada 19, 21 hingga 23 Oktober, manakala Nur Farhanah pada 26 hingga 30 Oktober.
Selain itu mahkamah mengarahkan semua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah jika ada serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Baharom. Foo diwakili peguam Lim Chun Yuan manakala Pausia, Arzeanti dan Mohd Azhar diwakili peguam Sylvester Kuan. Nur Farhanah tidak diwakili peguam.






