RM2.4 juta ayam dari China, Hong Kong diikrar palsu dirampas

LocalFood
26 May 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM2.4 juta ayam dari China, Hong Kong diikrar palsu dirampas
Mohd Shuhaily menunjukkan bungkusan ayam sejuk beku yang dirampas AKPD di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Taktik membawa masuk ayam sejuk beku dipercayai dari China dan Hong Kong ke negeri ini dengan membuat pengikraran palsu sebagai ubi kentang dan kacang pis terbongkar selepas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya merampas sebanyak 404,232 kilogram barangan tersebut dalam operasi di Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.

Rampasan bernilai kira-kira RM2.4 juta itu ditemukan dalam 14 kontena menerusi operasi yang bermula sejak 19 Mei lalu.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemeriksaan dijalankan pegawai AKPS di kawasan Custom Examination Area (CEA), Pelabuhan Sepanggar pada 21 Mei lalu selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kemasukan produk haiwan secara tidak sah ke negara ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 14 kontena mengandungi produk haiwan berupa ayam sejuk beku dipercayai telah dibawa masuk melalui pengikraran palsu.

"Sebanyak 404,232 kilogram daging ayam yang membawa nilai keseluruhan hampir RM2.4 juta dipercayai berasal daripada China dan Hong Kong serta melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam," katanya dalam sidang akhbar Pelabuhan Sepanggar di sini pada Selasa.

Menurutnya, modus operandi itu dipercayai dilakukan secara terancang apabila produk berkenaan sudah siap dibungkus menggunakan kotak yang memaparkan seolah-olah ia berasal dari Thailand dan Malaysia, termasuk label cetakan dari Melaka serta Ipoh.

"Sekiranya disahkan produk ini benar-benar berasal dari China atau Hong Kong, ini bermakna pembungkusan awal telah dibuat di negara pengeksport lagi. Apabila sampai ke sini, ia sudah siap untuk diedarkan dan bukan lagi untuk proses pembungkusan semula.

"Malah terdapat label 'Only for Sabah' pada bungkusan berkenaan sedangkan pihak Veterinar memaklumkan produk seumpama itu tidak dibenarkan diimport dari China. Jadi jelas berlaku pelanggaran undang-undang," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material.

"Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan maklumat asal diterima pihaknya melibatkan sebanyak 26 kontena, namun setakat ini hanya 14 kontena berjaya diperiksa mempunyai isi kandungan ayam sejuk beku.

"Kita mempunyai sedikit masalah teknikal untuk memeriksa baki 12 kontena lagi dan perkara itu akan dipantau lanjut oleh pihak kastam untuk tindakan susulan," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan destinasi bekalan berkenaan, beliau tidak menolak produk terbabit mungkin bukan hanya untuk pasaran Sabah, sebaliknya berpotensi disalurkan ke lokasi lain termasuk Semenanjung, Sarawak atau negara jiran.

Beliau turut menyifatkan rampasan itu sebagai yang terbesar melibatkan daging ayam sejuk beku di Malaysia setakat ini dan dipercayai mampu membekalkan keperluan seluruh Sabah.

Katanya lagi, setakat ini tiada tangkapan dilakukan kerana siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik serta rangkaian sindiket terbabit.

"Melihat kepada kuantiti yang besar sebegini, saya amat percaya ia melibatkan kumpulan jenayah terancang. Produk ini juga mempunyai tanda halal, namun kita belum dapat pastikan sama ada logo itu sahih atau sekadar dicetak pada kotak.

"Kita akan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan status halal yang digunakan benar-benar tulen,"  katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja melibatkan aspek pelanggaran undang-undang kastam, malah turut berkait dengan keselamatan serta kesihatan rakyat Sabah.

"Kita tidak tahu sama ada ayam-ayam ini mempunyai penyakit atau boleh memudaratkan pengguna. Sebab itu kepentingan rakyat Sabah perlu dipelihara dan penguatkuasaan seperti ini penting untuk memastikan negeri ini tidak menjadi laluan produk makanan yang meragukan," katanya.

 

View Original Article