
PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju menawarkan tiket Madani khusus kepada pemegang MyKad bagi menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini pada harga serendah RM200.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diputuskan hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain.
Menurut beliau, tiket berkenaan membolehkan pemegang MyKad mendapat akses sepanjang tiga hari acara berlangsung.
“Beberapa minggu lalu, saya maklumkan bahawa kerajaan sedang pertimbang penjualan tiket Madani sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026, Oktober ini.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, kerajaan sukacita mengumumkan tiket Madani khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, inisiatif tersebut diharap dapat membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyaksikan sendiri pengalaman perlumbaan Formula 1 secara langsung di Sepang.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai penjualan tiket Madani akan diumumkan oleh pihak SIC dalam masa terdekat.
Sebelum ini, laman sesawang rasmi GP Bahrain memaparkan kadar harga tiket masuk dan bagi pemegang MyKad, mereka layak menikmati kadar khas bagi enam kategori tempat duduk antara RM200 hingga RM2,083.40.
Pilihan paling berpatutan ialah Hillstand G pada harga RM200, manakala tiket bagi Hillstand B dan Hillstand C masing-masing berharga RM809.60.
Bagi tempat duduk grandstand, tiket berharga RM1,291.40 untuk Grandstand F, RM1,386 bagi Grandstand K1 dan RM2,083.40 untuk Grandstand Utama.
Grandstand Utama, Grandstand K1 dan Grandstand F menawarkan tempat duduk serta ruang tontonan di atas bumbung manakala Hillstand B, C dan G adalah kawasan berumput dan terbuka.
Kadar khas itu bagaimanapun, hanya tersedia kepada pemegang MyKad dengan proses pengesahan dilaksanakan bagi memastikan kelayakan.
Tambah maklumat itu, urus niaga akan diproses dalam dinar Bahrain berdasarkan kadar pertukaran semasa ketika pembelian dibuat. – KOSMO! ONLINE
The post RM200 tiket Madani F1 GP Bahrain di Sepang appeared first on Kosmo Digital.






