RM232 Juta Bagi Baik Pulih Kerosakan Akibat Banjir Di Semenanjung

12 Jan 2023 • 6:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Alexander Nanta Linggi berkata sebahagian besar kerosakan itu berlaku di negeri pantai timur dengan kos baik pulih RM196 juta - Gambar Fail Bernama

PENDANG - Sejumlah RM232 juta diperlukan bagi membaik pulih infrastuktur dan kemudahan awam yang rosak akibat bencana banjir di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebahagian besar kerosakan itu berlaku di negeri pantai timur dengan kos baik pulih RM196 juta.

“Banyak kerosakan melibatkan cerun runtuh, kawasan berturap yang pecah. Dua minggu lepas kami melawat Terengganu dan Kelantan memang akibat banjir turapan banyak pecah.

“Baik pulih sedang berjalan, jangkaan siap bergantung pada tahap kerosakan, cerun akan mengambil sedikit masa kerana banyak kerja teknikal, turapan mudah sikit, saya difahamkan kerja baik pulih sudah 20 peratus siap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Majlis itu turut disaksikan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya, Nanta berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Plus Malaysia Bhd akan mengadakan mesyuarat esok bagi mencari penyelesaian isu-isu yang timbul mengenai teknologi itu.

“LLM dan Plus akan membincangkan apa langkah-langkah yang sepatutnya diambil,” katanya yang turut menegaskan penggunaan RFID akan diteruskan. - Bernama