RM361,848 dalam dua hari, larian amal Syed Saddiq pecah sasaran asal

18 Jul 2026 • 2:22 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

RM361,848 dalam dua hari, larian amal Syed Saddiq pecah sasaran asal

KUALA LUMPUR – Kempen kutipan dana menerusi larian amal yang diusahakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima sambutan luar biasa apabila berjaya mengumpul RM361,848 dalam tempoh hanya dua hari, sekali gus melepasi sasaran asal sebanyak RM200,000.

Menerusi perkongsian di media sosial, Syed Saddiq mengakui beliau sendiri terkejut dengan jumlah sumbangan yang diterima memandangkan sasaran asal ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh empat hari.

“RM361,848. Honestly, saya sendiri masih terkejut tengok angka ni. Sasaran asal kita ialah RM200,000 dalam masa empat hari.
“Tetapi dalam masa dua hari sahaja, kita bukan sahaja dah capai, malah dah melebihinya. Alhamdulillah,” katanya.

@syedsaddiq

RM361,848. Honestly, saya sendiri masih terkejut tengok angka ini Ini bukan lagi perjalanan saya seorang. Ini perjalanan kita bersama.

♬ original sound – Syed Saddiq

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang, berkongsi kempen serta memberi sokongan sepanjang larian amal tersebut berlangsung.

Menurutnya, laluan pada hari berkenaan bermula dari Labu sebelum melalui Seremban dan Pedas, seterusnya berakhir di Kota.

Syed Saddiq berkata, cabaran fizikal yang dihadapi sepanjang perjalanan cukup mencabar apabila badannya mengalami kekejangan sehingga ada ketika sukar untuk meneruskan larian.

Bagaimanapun, hujan lebat yang melanda kawasan Pedas tidak menghalang orang ramai daripada menunggu di tepi jalan bagi memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Untuk tiga kilometer terakhir menuju ke Kota, saya dah tak mampu nak berlari dan terpaksa berjalan. Tapi apabila sampai dan nampak lautan manusia menunggu, semangat itu datang balik,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa sepanjang perjalanan, ramai individu menghulurkan sumbangan secara tunai termasuk ada yang menyumbang serendah 50 sen.

Menurutnya, setiap sumbangan amat bermakna kerana ia diberikan dengan penuh keikhlasan tanpa mengira jumlahnya.

Dengan kutipan yang jauh melepasi sasaran, Syed Saddiq berkata perancangan awal untuk menyediakan foodbank dan iPad bernilai RM200,000 kini akan diperluaskan agar lebih ramai keluarga serta pelajar di kawasan Parlimen Muar dapat menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved