RM394 juta diperlukan untuk 35 projek wakaf

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 2:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM394 juta diperlukan untuk 35 projek wakaf

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM394 juta diperlukan bagi merealisasikan 35 projek wakaf Wilayah Persekutuan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, ekonomi dan infrastruktur umat Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya setakat ini berjaya mengutip RM16 juta bagi menjayakan projek-projek berkenaan.

Katanya, jumlah kutipan itu masih jauh daripada sasaran, sekali gus memerlukan sokongan berterusan masyarakat termasuk warga korporat untuk memastikan pelaksanaan projek wakaf dapat direalisasikan.

“Setakat ini kita berjaya mengutip sehingga RM16 juta sahaja maknanya masih panjang lagi perjalanan yang kita sedang lakukan.

“Saya juga ingin menyeru masyarakat di luar sana agar kita membudayakan wakaf ini supaya banyak lagi projek-projek yang boleh kita laksanakan yang mencakupi sektor kesihatan, pendidikan, ekonomi dan juga sektor infrastruktur umat Islam seperti pembinaan masjid dan juga surau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Perniagaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, penglibatan masyarakat secara meluas berpotensi membantu mengumpul dana wakaf dalam jumlah besar menerusi sumbangan kecil secara konsisten.

“Jadi kalau semua di kalangan terutamanya masyarakat yang tinggal di Wilayah Persekutuan ini, saya rasa kalau ambil 400,000 penduduk dan yang bayar RM10 sebulan bermakna kita boleh collect (kumpul) sebulan RM4 juta itu kalau tengok angka secara idealnya,” katanya.

Tambah beliau, usaha meningkatkan kesedaran mengenai wakaf penting bagi menjadikannya sebahagian daripada amalan masyarakat.

“Jadi inilah yang kita nak wawarkan supaya ada kesedaran dan kita budayakan cara hidup kita dengan cara kita berwakaf kerana pahalanya berkekalan selagi mana manfaat ini digunakan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Hakim turut menggalakkan syarikat korporat memperluas sumbangan kepada masyarakat bukan sahaja menerusi pembayaran zakat perniagaan, malah melalui penyertaan dalam inisiatif wakaf yang memberi manfaat jangka panjang. – KOSMO! ONLINE

The post RM394 juta diperlukan untuk 35 projek wakaf appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved