
KOTA BELUD: Projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tambatuon menerusi Rolling Plan Ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 RP3) bernilai RM42 juta dilancarkan pada Jumaat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata projek itu bertujuan menggantikan bangunan sekolah lama dengan pembinaan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula bulan ini.
“Saya berharap projek ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan agar dapat dimanfaatkan oleh murid serta penduduk yang menaruh harapan besar terhadap kemudahan pendidikan yang lebih baik,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan, di sini.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Ewon menambah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Menteri Persekutuan, beliau sentiasa memastikan keperluan pembangunan berskala besar dibawa ke kawasan ini menerusi RMK-13 yang bermula tahun depan hingga 2030.
“Sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek RMK-13, saya bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek pembangunan yang dibiayai kerajaan Persekutuan di seluruh Sabah.
“Ini adalah sebahagian daripada mandat kami agar semua projek dapat dipercepatkan pelaksanaannya demi kepentingan rakyat,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud yang komited menaik taraf sekolah-sekolah daif, khususnya di Dun Kadamaian.
“Sebahagian projek telah siap dibina, ada yang sedang dalam proses pembinaan, dan banyak lagi akan dikemukakan dalam RMK-13.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada JKR Sabah sebagai agensi pelaksana, serta Pejabat Pembangunan dan Pejabat Daerah Kota Belud yang turut menyumbang kepada pembangunan daerah ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Ishak Mohd Yusof berkata antara kemudahan yang akan dibina di SK Tambatuon ialah sepuluh bilik darjah, bilik RBT, makmal sains, kantin, surau, blok pentadbiran, ruang terbuka berbumbung dan padang.
Dalam pada itu, katanya, pelbagai sekolah di Kadamaian menerima peruntukan, antaranya projek yang telah siap dibina seperti SK Sayap, SK Tarintidon, SK Nahaba, SK Gensurai, SK Tengkurus, SK Taginambur, SK Tuguson dan SK Lasau Tintapon.
“Projek yang sedang dalam pembinaan pula melibatkan SK Kiau 1, SK Tamu Darat, SK Kaung, SK Kebayau, SK Mengkulat, SK Melangkap, SK Tambulian, SK Kelawat dan SK Tambatuon.
“Beberapa lagi projek telah diluluskan dan sedang menunggu proses tender seperti Blok Pentadbiran SK Taginambur, SK Dalas, tambahan bilik darjah SMK Narinang serta prasekolah SK Tampasuk I, SK Piasau dan SK Kinasaraban,” katanya.
Menurutnya, SK Rangalau turut menerima peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Projek Ubah Suai dan Naik Taraf (USNT) yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Tambah beliau, PPD Kota Belud juga kini dalam usaha memohon pembinaan sekolah baharu termasuk SMK Narinang II, SMK Arshad II, SMK Pekan III dan SMK Pintasan, susulan kelulusan permohonan tapak oleh Jabatan Tanah dan Ukur Kota Belud.



