
TAWAU: Agrobank memperuntukkan RM50 juta bagi membantu lebih 4,000 usahawan mikro di negara ini melalui program Agro Pintar Niaga (AgroPintar).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata AgroPintar merupakan sebuah inisiatif merangkumi pembiayaan, padanan geran i-Tekad dan latihan keusahawanan bagi membantu usahawan mikro mengurus mahupun mengembangkan perniagaan mereka secara mampan.
“Sejak dimulakan pada Mei lalu sebanyak 687 orang yang bergiat aktif dalam beberapa projek seperti penanaman nanas, fertigasi cili serta beberapa usahawan lain dibantu menerusi inisiatif tersebut.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Dalam tempoh enam bulan ke atas kita mensasarkan lima hingga 10,000 penerima geran di seluruh negara termasuk lebih 1,000 di Sabah dan kita menggalakkan lebih ramai agropreneur muda untuk mengambil peluang ini bagi membesarkan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut Tengku Ahmad menyatakan Agrobank memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui pelaksanaan Program AgroPintar khusus bagi menyediakan akses pembiayaan mikro berserta geran padanan i-Tekad bernilai RM5 juta kepada para usahawan.
“Ini meliputi Pembiayaan Perniagaan Usahawan Mikro dan Pembiayaan Ladang Kontrak serta dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan mikro yang berkelayakan terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian AgroPintar dan Pelancaran Video Bersiri Celik Kewangan Agrobank X Financial Education Network (Fen) sempena Karnival Celik Kewangan Tawau, di pentas utama Eastern Plaza pada Sabtu.
Perasmian disempurnakan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Tengku Ahmad berkata Program AgroPintar menekankan aspek literasi kewangan yang meliputi pengurusan kewangan, pengurusan risiko kredit serta kawalan hutang dengan matlamat memperkukuh daya saing serta kecekapan usahawan mikro dalam membuat keputusan perniagaan secara lebih bijak dan berkesan.
Pihaknya percaya inisiatif itu bukan sahaja akan memberi impak positif dari segi ekonomi malah mampu merangsang pertumbuhan sosial dalam kalangan usahawan mikro.
“Dengan bimbingan berstruktur para peserta program akan dilengkapkan dengan kemahiran membuat keputusan kewangan dan perniagaan secara bijak seterusnya meningkatkan kebolehupayaan mereka dalam mengurus pelbagai aspek perniagaan secara efisien.
“Selain itu pemantauan terhadap perkembangan dan keberkesanan program akan dijalankan selepas enam bulan penyertaan usahawan,” ujarnya.
Berkenaan pelancaran Video Bersiri Celik Kewangan dengan kerjasama strategik FEN pula beliau berkata video terbabit mengandungi 12 episod dengan menampilkan pempengaruh media sosial Sir Asai.
Tengku Ahmad berkata inisiatif itu direka khas untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar sekolah melalui pendekatan yang menarik dan mudah difahami bertujuan memupuk budaya pengurusan kewangan sihat melalui amalan 3S iaitu Spend, Save and Share khususnya dalam kalangan generasi muda.

