Peruntukan RM11.6 juta perkasa usahawan Sabah

LocalBusiness & Finance
7 Jul 2025 • 12:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: R Gonzales

Tuaran: Kerajaan negeri memperuntukkan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (Yum) tahun ini bagi meneruskan Program Kredit Mikro sebagai langkah memperkasa usahawan tempatan khususnya golongan wanita berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri komited membantu Yum melaksanakan peranan dengan menyediakan dana yang mencukupi bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.

Katanya menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 Yum turut menerima geran RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman selain geran perbekalan tahunan daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});"Saya berharap peminjam Yum dapat melunaskan pinjaman mereka tepat pada masanya supaya lebih ramai lagi dapat menikmati manfaat daripada program berkenaan.

"Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman Yum bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka malah membolehkan agensi ini meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup dengan adanya modal pusingan pinjaman yang mencukupi.

"Dalam masa yang sama ahli-ahli Yum hendaklah sentiasa meningkatkan kemahiran perniagaan mereka dengan menyertai bengkel, kursus dan latihan yang disediakan termasuk oleh agensi lain yang menggunakan teknologi terkini serta meluaskan pasaran perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program Hari Keluarga Yum Tuaran di Dewan Sri Sulaman pada Sabtu.

Terdahulu Yum merupakan badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan.

Sementara itu Hajiji memaklumkan Yum telah menjadi salah satu agensi paling penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi khususnya dalam komuniti luar bandar dan pedalaman sejak penubuhannya pada 1995.

Beliau menambah, Yum menyalurkan pinjaman berjumlah RM805.25 juta melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam dengan 18,888 ahli masih mempunyai pinjaman aktif.

"Prestasi bayaran balik pinjaman juga amat membanggakan dengan kadar bayaran balik kumulatif melebihi 96 peratus. Ini menunjukkan bahawa peminjam yang kesemuanya wanita merupakan pembayar yang baik atau good paymaster," ujarnya.

Dalam pada itu hampir 20 peratus daripada peminjam Yum yang sebelum ini berada di bawah paras garis kemiskinan telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan melepasi garis terbabit.

Menurut beliau situasi ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa program pinjaman Yum mampu meningkatkan pendapatan serta membantu rakyat keluar daripada kemiskinan.