RM55 juta bina laluan pejalan kaki berbumbung

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 8:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM55 juta bina laluan pejalan kaki berbumbung

KUALA LUMPUR: Laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer akan dibina di seluruh kawasan Parlimen di ibu negara dengan peruntukan RM55 juta dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek itu dilaksanakan menerusi perbelanjaan mengurus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan setiap kawasan Parlimen diperuntukkan laluan sepanjang dua kilometer.

“Walaupun tiada laluan pejalan kaki sedang dibina ketika ini, pelaksanaan bagi tahun depan akan bermula seawal Januari 2027,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah berkata, laluan berkenaan akan melengkapkan rangkaian perhubungan di lokasi penting dalam bandar dengan menghubungkan kawasan kediaman, kemudahan awam, pusat komersial, perhentian bas, klinik kesihatan dan rumah ibadat.

Selain itu, katanya, DBKL akan membina tambahan 20 kilometer laluan pejalan kaki berbumbung di pusat bandar bagi menghubungkan kemudahan pengangkutan awam dengan pelbagai destinasi.

“Destinasi berkenaan termasuk pusat komersial, kompleks pejabat serta taman rekreasi seperti Taman Botani dan Taman Tasik Titiwangsa.

“Pelaksanaan projek baharu itu menyusuli kejayaan projek terdahulu yang meliputi 29 lokasi dengan keseluruhan laluan sepanjang 4.35 kilometer sejak 2023 hingga kini,” katanya.

Projek berkenaan mula diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027.

Menerusi belanjawan itu, DBKL menerima peruntukan khusus bagi menambah baik infrastruktur bandar sebagai sebahagian daripada pakej lebih besar bernilai RM400 juta untuk kawasan hijau, taman dan naik taraf kemudahan awam. – UTUSAN

The post RM55 juta bina laluan pejalan kaki berbumbung appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved