
PETALING JAYA: Kelalaian dan kelewatan mengambil tindakan susulan berhubung kutipan duit pendahuluan projek menyaksikan Kerajaan Persekutuan kini berdepan kesukaran mendapatkan semula RM68.81 juta dana awam yang masih tergantung.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, baki Akaun Belum Terima (ABT) Wang Pendahuluan Kontraktor (WPK) berjumlah RM68.81 juta bagi 24 projek masih belum dikutip dengan RM59.63 juta 86.7 peratus tertunggak melebihi 10 tahun.
Beliau berkata, sebahagian besar tunggakan melibatkan syarikat yang telah digulung atau dibubarkan, manakala kelewatan tindakan susulan turut menjejaskan usaha kutipan.
“Selain itu, baki WPK berjumlah RM5.67 juta bagi dua projek tidak dilaporkan sebagai ABT WPK, menyebabkan kedudukan sebenar ABT tidak tepat,” katanya menerusi kenyataan media Laporan Ketua Audit Negara 2/20226.
Wan Suraya mengesyorkan kementerian berkaitan mengambil tindakan susulan bagi menyelesaikan situasi tersebut.
“Dengan mengemukakan Borang Bukti Hutang kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi syarikat yang telah digulung, tindakan undang-undang terhadap syarikat yang masih aktif serta memastikan semua ABT WPK dilaporkan dengan segera,” katanya. – UTUSAN
The post RM59 juta duit pendahuluan kontraktor tertunggak melebihi 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.






