RM67.4 juta untuk pelajar Sabah: Hajiji

27 Mar 2024 • 2:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

GEORGE TOWN: Sebanyak RM67.4 juta diperuntukkan Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun ini, bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu meningkat berbanding sebanyak RM53.8 juta tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf kualiti kehidupan dan pendidikan rakyat Sabah.

“Agenda pembangunan pendidikan di Sabah sentiasa diberikan keutamaan oleh Kerajaan Negeri, justeru itu, pelbagai inisiatif bantuan diperkasa termasuk untuk anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Antara inisiatif tersebut ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (Bakti). Selain itu, bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah pula, Kerajaan Negeri telah menambah dana biasiswa daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi meringankan beban mahasiswa mahasiswi yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Semua itu kita sediakan demi anak-anak Sabah serta demi kemajuan dan kecemerlangan sektor pendidikan ke arah membentuk modal insan yang cemerlang.

“Saya berharap pelajar-pelajar kita akan merebut peluang dari pelbagai inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Hajiji berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung, di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Katanya, sejak 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah telah menyediakan pelbagai bantuan melalui pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi.

“Seramai 124,141 pelajar Sabah yang mengikuti pelbagai disiplin ilmu sama ada di institusi pengajian tinggi di dalam mahupun ke luar negara, telah mendapat bantuan dengan perbelanjaan berjumlah RM952.2 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar-pelajar agar meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai aspek yang boleh membantu untuk pembangunan negeri Sabah pada masa hadapan.

“Mahasiswa dan mahasiswi semua adalah pemimpin masa hadapan negeri dan negara. Apabila tamat pengajian nanti, Sabah dan negara memerlukan penyertaan dan keterlibatan siswa siswi semua dalam membawa negeri dan negara ke arah kemajuan yang lebih tinggi.

“Ini kerana siswa-siswi semua akan menjadi golongan pelapis serta sumber modal insan untuk masa hadapan, yang akan menyambung legasi pembangunan negeri Sabah.

“Sebab itu, dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, pembangunan modal insan antara teras utama yang diberi perhatian,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan inisiatif-inisiatif sedia ada bagi memastikan anak-anak Sabah mendapatkan pendidikan yang baik dan sempurna, sekali gus mampu menjadi pemimpin pelapis yang serba boleh dan berdaya saing.

Program itu dihadiri kira-kira 1,400 pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi di utara Semenanjung.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.