sarah13/10/2026 - 15:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan memperuntukkan RM700 juta bagi menganjurkan 30,000 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bersasar untuk membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah, sekali gus mengawal kesan kenaikan gaji minimum terhadap harga barang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu turut disokong penguatkuasaan lebih ketat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta pengurusan bekalan barangan strategik.
“Kerajaan komited untuk menstabilkan harga barangan keperluan melalui penguatkuasaan yang lebih ketat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, pengurusan bekalan strategik serta peningkatan kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Menurut Akmal Nasrullah, untuk 2026, inflasi berada pada 1.7% pada suku pertama dan sekitar 1.9% hingga 2.0% pada suku kedua. Inflasi makanan dan minuman pula mencatatkan 1.4% pada Mei dan Jun, sebelum berada antara 1.8% hingga 1.9% pada Julai dan Ogos.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada 5.4% pada suku pertama dan 6.0% pada suku kedua 2026 turut membuktikan bahawa peningkatan gaji minimum mengukuhkan permintaan domestik tanpa menjejaskan kestabilan harga,” katanya.
Sebanyak 30,000 PJRM bersasar itu akan dianjurkan di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar bagi memperluas akses kepada barangan pada harga berpatutan.
Selain itu, RM50 juta diperuntukkan untuk menganjurkan 5,000 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara, yang menawarkan barangan agromakanan segar seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga 10% hingga 30% lebih murah berbanding harga pasaran.
Akmal Nasrullah berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan terus memantau dan melaksanakan langkah bagi menangani isu kos sara hidup. - DagangNews.com






