RM750 juta perluas Jualan Rahmah, Agro Madani

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 5:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM750 juta perluas Jualan Rahmah, Agro Madani

PETALING JAYA: Peruntukan RM750 juta bagi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan Jualan Agro MADANI akan memperluas akses rakyat kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, peruntukan itu membabitkan sasaran keseluruhan 35,000 penganjuran, masing-masing 30,000 bagi PJRM dan 5,000 Jualan Agro Madani.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan akan diperluas melalui penglibatan kedai runcit, mesin layan diri serta penganjuran Jualan Rahmah Madani Borong.

“Keutamaan KPDN adalah memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara lebih meluas di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk melalui penglibatan kedai runcit, mesin layan diri dan penganjuran Jualan Rahmah MADANI Borong.

“Langkah ini bagi membantu peniaga kecil mendapatkan bekalan serta mengurangkan tekanan kos perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah berkata, beliau menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 yang memberi penekanan kepada Waad Nasional bagi memastikan kemajuan ekonomi negara memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, langkah memperkukuh peruntukan bantuan, subsidi dan insentif berjumlah RM80 bilion tahun hadapan mencerminkan usaha berterusan kerajaan menangani tekanan kos sara hidup secara menyeluruh.

Ujarnya, peruntukan RM10 juta menerusi inisiatif JOM MALAYSIA turut membantu membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar negara.

“Ini membuka peluang kepada pengusaha meningkatkan capaian pasaran, nilai produk dan meneroka peluang perniagaan baharu termasuk melalui platform digital, seiring dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di bawah KPDN.

“Langkah kerajaan memperkukuh kerangka perundangan e-dagang yang akan dibentangkan pada mesyuarat akan datang juga bertepatan dengan usaha kementerian memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian,” katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha memperkukuh ekosistem animasi tempatan bagi melahirkan 20 harta intelek baharu serta mengkomersialkan watak Malaysia di pentas dunia.

Katanya, pembangunan dan pendaftaran harta intelek penting bagi melindungi hak pemilik, meningkatkan nilai komersial hasil kreativiti tempatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penggiat industri kreatif.

“Dalam konteks bidang tugas KPDN, pengukuhan keupayaan operasi agensi penguat kuasa dalam Belanjawan 2027 amat penting dalam memastikan pematuhan undang-undang, melindungi pengguna dan mengekalkan integriti pasaran.

“Peruntukan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi agensi penguat kuasa termasuk KPDN dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut memberi penekanan kepada kepentingan penguatkuasaan yang berkesan dalam menangani pelanggaran undang-undang mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Tambahnya, KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang perdagangan dalam negeri dipatuhi, pengguna dilindungi dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan di bawah bidang kuasa kementerian. – UTUSAN

The post RM750 juta perluas Jualan Rahmah, Agro Madani appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved