Belanjawan 2027 perkukuh industri kreatif, kebajikan pekerja – Hans Isaac

LocalEntertainment
10 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belanjawan 2027 perkukuh industri kreatif, kebajikan pekerja – Hans Isaac

KUALA LUMPUR: Peruntukan lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan dalam Belanjawan MADANI 2027 dilihat mampu memperkukuh daya saing industri kreatif negara, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Dr. Hans Isaac berkata, perhatian yang diberikan kerajaan terhadap pembangunan industri kreatif perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya tenaga kerja yang menjadi tulang belakang sektor berkenaan.

Beliau menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2027 yang turut memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan pekerja, bantuan kos sara hidup serta pembangunan industri kreatif sebagai penyumbang kepada ekonomi dan identiti negara.

“Saya menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2027 yang memberikan perhatian kepada kesejahteraan rakyat, peningkatan pendapatan pekerja serta pembangunan industri kreatif sebagai penyumbang kepada ekonomi dan identiti negara.

“Sokongan ini memperlihatkan pengiktirafan terhadap peranan industri kreatif dalam mencipta peluang pekerjaan, menjana aktiviti ekonomi dan membawa kisah Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion mencerminkan usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Peluasan penggunaan SARA untuk pembelian barangan basah dan segar di pasar tani serta tamu terpilih di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga disifatkan dapat membantu keluarga memenuhi keperluan harian dengan lebih baik.

Mengulas kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, Hans Isaac berkata, langkah itu penting dalam meningkatkan pendapatan pekerja, termasuk mereka yang terlibat dalam industri perfileman.

Bagaimanapun, kenaikan itu diumumkan dengan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai hasil jualan di bawah RM50 juta.

“Dalam konteks industri perfileman, kesejahteraan tenaga kerja perlu diberi perhatian seiring usaha meningkatkan produktiviti, kemahiran dan daya saing syarikat produksi.

“Kemajuan industri perlu bergerak seiring dengan kesejahteraan insan yang menghidupkannya, daripada pengkarya dan kru produksi kepada seluruh tenaga kerja dalam rantaian perfileman negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia berpotensi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi produksi pilihan.

Menurutnya, insentif tambahan bagi karya yang mengetengahkan budaya dan kenegaraan turut berupaya menggalakkan penghasilan kandungan yang mencerminkan keunikan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Beliau turut mengalu-alukan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027, yang disifatkan sebagai perkembangan positif untuk merangsang sambutan terhadap karya tempatan.

“Saya berharap kerajaan negeri turut mempertimbangkan pendekatan serupa supaya manfaatnya dapat diperluas kepada pengkarya dan penonton di seluruh negara,” katanya.

Menyentuh pembangunan industri animasi, Hans Isaac berkata, sasaran melahirkan 20 harta intelek (IP) baharu membuka peluang untuk membangunkan lebih banyak watak dan jenama kreatif Malaysia yang berpotensi bersaing di pasaran global.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan bakat, pemilikan harta intelek serta pengkomersialan bagi memastikan karya tempatan mampu menjana nilai ekonomi secara berterusan.

“FINAS akan terus memainkan peranan dalam pembangunan industri perfileman melalui kerjasama dengan kementerian, agensi dan pemain industri.

“Keutamaan kita adalah memastikan sokongan yang diumumkan dapat diterjemahkan kepada peluang produksi, pembangunan bakat dan peluasan pasaran yang memberi manfaat kepada penggiat industri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas perhatian yang diberikan terhadap kesejahteraan rakyat dan masa depan industri kreatif, sambil berharap langkah yang diumumkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri untuk mengembangkan bakat, memperkukuh karya serta meneroka pasaran baharu.

The post Belanjawan 2027 perkukuh industri kreatif, kebajikan pekerja – Hans Isaac appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved