RM79.46 juta untuk operasi, pembudayaan STI: Hajiji

26 Nov 2022 • 3:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pembangunan modal insan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) adalah agenda utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Justeru, katanya kementerian dan jabatannya memperuntukkan RM175.61 juta untuk bajet tahun depan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM79.46 juta diperuntukkan kepada Kementerian untuk operasi dan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), termasuk pembangunan Pusat STI; penganjuran Karnival Sains Sabah; Jelajah Astronomi Sabah; Fiesta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); ROBONEO; dan PITCHBORNEO sebagai inisiatif untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang STI dan STEM.

“Selain itu, Kerajaan Negeri terus komited untuk meningkatkan perkhidmatan dengan mempertingkatkan pentadbiran yang dilengkapi peralatan digital untuk penjawat awam.

“Bagi tujuan ini, Jabatan Perkhidmatan Komputer Sabah diperuntukkan sejumlah RM26.15 juta tahun depan untuk operasi dan pembangunan sistem aplikasi agensi Kerajaan Negeri,” kata Hajiji.

Selain itu, beliau berkata Sabah Net akan meneruskan kerja menaik taraf rangkaian gentian di semua premis Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM32 juta tahun depan.

“Sabah Net akan menggunakan teknologi terkini sambil menjadi pusat sehenti untuk perkhidmatan pengkomputeran awam bagi mengetatkan keselamatan siber.

“Sabah Net juga memainkan peranan dalam merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar dengan menaik taraf rangkaian internet di pusat e-Desa, bagi meluaskan liputan digital dan memacu transformasi digital di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata pembangunan ICT di Sabah turut disokong oleh agensi Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan pembinaan menara baharu; menaik taraf stesen penghantaran sedia ada dan Pusat Internet Luar Bandar.

Sehubungan itu, beliau berkata KSTI juga akan memasang kemudahan satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) di 300 lokasi di seluruh Sabah yang tidak termasuk dalam program JENDELA pada tahun 2023.

Satu lagi jabatan di bawah KSTI, katanya ialah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) yang akan diperuntukkan sebanyak RM26.25 juta pada tahun 2023.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk menganjurkan kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan. Selain pelaksanaan semasa Program Keusahawanan Bakat Sabah dan Program Karnival Kerjaya, program baharu iaitu ‘Train and Place Programme’ akan dilaksanakan.” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.