
SEBERANG PERAI – Kegembiraan pasangan suami isteri menimang cahaya mata pertama selepas lima tahun mendirikan rumah tangga tidak berpanjangan apabila anak mereka disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital.
Bayi perempuan berusia setahun setengah, Elnaura Azzalea Muhammad Syazwan dari Bayan Lepas itu mempunyai tiga lubang pada jantung dan memerlukan RM80,000 bagi menampung kos pembedahan.
Bapanya, Muhammad Anuar Syazwan Zafree, 32, berkata, masalah kesihatan anaknya mula dikesan selepas dilahirkan secara pembedahan apabila petugas kesihatan mendapati paras oksigen rendah.
Katanya, ketika Elnaura Azzalea berusia dua minggu, doktor turut mengesan bunyi degupan jantung yang tidak normal sebelum merujuknya ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami kecacatan jantung kongenital, dengan tiga lubang pada jantung yang dikenali sebagai Moderate Perimembranous Ventricular Septal Defect.
“Oleh kerana saiz lubang pada ketika itu tidak besar, doktor berpendapat ia berkemungkinan tertutup sendiri semasa anak saya membesar dan diberikan ubat untuk mengawal keadaan,” katanya.
Namun, pemeriksaan susulan pada Jun lalu mendapati salah satu lubang pada jantung anaknya semakin membesar sehingga enam milimeter.
“Doktor memaklumkan, keadaan itu memerlukan pembedahan segera bagi menutup lubang berkenaan. Dua lagi lubang masih kecil dan perlu terus dipantau sebelum doktor menentukan kaedah rawatan seterusnya,” katanya lagi.
Menurut juruteknik itu, keadaan itu menyebabkan dia dan isteri semakin bimbang kerana kos pembedahan yang tinggi, sedangkan mereka hanya mampu menyediakan RM3,000.
“Saya menjadi buntu kerana pembedahan perlu dibuat secepat mungkin sehingga terpaksa merayu bantuan dana.
“Tanpa pembedahan, jantungnya tidak mampu menanggung beban yang sekali gus boleh menyebabkan kegagalan fungsi dan tekanan darah tinggi pada arteri pulmonari selain mengancam nyawanya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga berkenaan memerlukan baki dana RM80,000 bagi membolehkan pembedahan Elnaura Azzalea dilakukan secepat mungkin.
“Masa depan bayi itu perlu diselamatkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org. – KOSMO! ONLINE
The post RM80,000 penyelamat nyawa bayi appeared first on Kosmo Online.



