RM9,610 kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur

LocalPersonal Finance
21 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM9,610 kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur

PUTRAJAYA:  Sebuah keluarga de­ngan isi rumah seramai enam orang termasuk suami isteri dan empat orang anak di Kuala Lumpur memerlukan perbelanjaan asas sebanyak RM9,610 sebulan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang wajar.

Jumlah berkenaan berdasarkan pengiraan menggunakan kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (MyPAKW) yang dibangunkan secara sistematik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi pengiraan yang sa­ma, seorang individu bujang yang tinggal di Kuala Lumpur memerlukan perbelanjaan asas sebanyak RM2,403 sebulan bagi kos kehidupan wajar.

Namun sekiranya tinggal di luar bandar seperti di Besut, Terengganu, sebuah keluarga itu boleh menjalani kehidupan wajar dengan per­belanjaan asas hanya sebanyak RM4,956 sebulan.

Jumlah per­belanjaan untuk kehidupan wajar juga akan le­bih rendah sekiranya seseorang individu bujang itu tinggal luar bandar seperti di Jeli, Kelantan yang dinilai sebanyak RM1,019 sebulan.

DOSM menerusi kenyataan kepada Utusan Malaysia memaklumkan, pembangunan PAKW telah bermula sejak 2018 dan telah diperkenalkan pada tahun 2024 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan kepada Survei Perbelanjaan dan Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan secara berkala.

Menurutnya, PAKW merujuk kepada jumlah perbelanjaan penggunaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah/individu untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat meme­nuhi keperluan dan kehendak serta mengambil bahagian da­lam aktiviti kemasyarakatan.

“Nilai PAKW dipengaruhi oleh lokasi, ciri-ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah. Nilai PAKW bagi setiap isi rumah adalah berbeza mengikut ciri demografi dan lokasi tempat tinggal isi rumah,” katanya.

Jelas kenyataan itu, pembangunan PAKW berasaskan prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek kehidupan wajar iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan dalam masyarakat.

Menariknya, pada 18 Ogos lalu, PAKW turut dikemas kini bagi kumpulan berkeperluan khas meliputi orang kurang upaya (OKU), pesakit dan warga emas dengan mengambil kira keperluan khusus kumpulan tersebut.

Ia mengenal pasti kos sara hidup sebenar keluarga yang mempunyai ahli keluarga berkeperluan khas dengan mengambil kira keperluan perbelanjaan tambahan yang diperlukan bagi mencapai taraf kehidupan yang wajar.

Katanya, inisiatif ini me­rangkumi OKU mengikut tujuh kategori ketidakupayaan yang turut meliputi pesakit yang memerlukan penjagaan di rumah sama ada terlantar atau tidak terlantar serta warga emas yang memerlukan penjagaan khusus.

“Hakikatnya, setiap individu dan isi rumah mempu­nyai corak perbelanjaan sendiri. Kalkulator MyPAKW justeru mengira nilai PAKW berdasarkan keterangkuman maklumat perbelanjaan isi rumah/individu mengikut lokasi, ciri-ciri demografi dan saiz isi rumah” katanya.

Pada masa sama, kalkulator MyPAKW boleh digunakan sebagai panduan oleh isi rumah/individu untuk mengetahui nilai perbelanjaan asas kehidupan wajar yang dapat meme­nuhi keperluan dan kehendak serta mengambil bahagian da­lam aktiviti kemasyarakatan.

PAKW juga boleh digunakan sebagai rujukan dalam mereka bentuk dasar/program berkaitan kos sara hidup serta menjadi panduan dalam pengurusan perbelanjaan isi rumah.

Ia juga boleh dimanfaatkan oleh entiti perniagaan dalam mengetahui perbelanjaan asas kehidupan wajar mengikut kawasan operasi perniagaan ma­sing-masing.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kadar gaji mini­mum negara sedang disemak semula bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 se­bulan dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.

Katanya, semakan kadar itu mengambil kira indikator asas iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan majikan membayar upah.-UTUSAN.

The post RM9,610 kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved