
KENAIKAN kos sara hidup yang berterusan semakin memberi tekanan kepada kewangan isi rumah di Malaysia. Peningkatan harga barangan keperluan, kos perumahan, pengangkutan serta perkhidmatan asas menyebabkan ramai, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, berdepan kesukaran mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan harian.
Dalam keadaan ini, kesejahteraan kewangan tidak boleh dilihat sekadar pada kemampuan seseorang membayar bil atau memenuhi keperluan semasa. Hal ini turut merangkumi keupayaan menghadapi kejutan kewangan, membina simpanan, melindungi keluarga serta mencapai matlamat kehidupan pada masa hadapan.
Kestabilan kewangan menjadi asas penting kepada kesejahteraan hidup kerana tekanan berkaitan wang boleh memberi kesan kepada kesihatan, hubungan keluarga dan kualiti hidup.
Gambaran mengenai tekanan kewangan rakyat turut dapat dilihat melalui data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sehingga 31 Mei 2026, seramai 5.5 juta ahli membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel, dengan majoritinya menggunakan wang tersebut untuk menampung keperluan kehidupan harian.
Perkembangan ini menunjukkan sebahagian rakyat terpaksa menggunakan simpanan bagi memenuhi keperluan semasa, sekali gus menyukarkan usaha menyediakan dana kecemasan dan simpanan persaraan.
Apabila pendapatan hanya cukup untuk perbelanjaan asas, ruang untuk mendapatkan perlindungan insurans atau takaful serta membuat pelaburan juga menjadi semakin terhad. Keadaan ini boleh menyebabkan isi rumah lebih terdedah apabila berdepan penyakit, kemalangan atau kehilangan pekerjaan. Tanpa simpanan mencukupi, mereka mungkin terpaksa berhutang atau mengorbankan simpanan masa hadapan.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion menerusi dua inisiatif utama, iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
STR disasarkan kepada isi rumah, warga emas dan individu bujang yang layak berdasarkan pendapatan serta bilangan tanggungan. SARA pula membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas di premis terpilih menggunakan kredit yang disalurkan melalui MyKad.
Bantuan ini penting sebagai sokongan jangka pendek untuk mengurangkan tekanan perbelanjaan. Apabila sebahagian keperluan asas dapat ditampung, penerima mempunyai sedikit ruang untuk menyusun semula kewangan, mengutamakan perbelanjaan dan mengelakkan penggunaan wang secara tidak terkawal.
Namun, bantuan kewangan tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian tunggal. Kesejahteraan yang berkekalan memerlukan perubahan dalam pengurusan kewangan. Penerima perlu memanfaatkan ruang yang tersedia untuk membina dana kecemasan, mengurus hutang dan merancang perbelanjaan berdasarkan keutamaan.
Pendidikan kewangan juga penting supaya bantuan yang diterima dapat memberikan manfaat lebih panjang.
Pada masa sama, akses kepada perlindungan insurans dan takaful perlu diperluas. Perlindungan tersebut berfungsi sebagai benteng apabila keluarga berdepan kos rawatan, kemalangan atau kehilangan pendapatan yang tidak dijangka. Tanpa perlindungan mencukupi, satu kejadian besar boleh menghakis simpanan yang dikumpulkan selama bertahun-tahun.
Sehubungan itu, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan MyKad bukan sahaja sebagai medium penyaluran manfaat SARA, malah sebagai saluran pemberian perlindungan asas insurans atau takaful kepada golongan yang layak.
Pendekatan ini berpotensi meningkatkan kadar perlindungan dalam kalangan masyarakat yang selama ini mungkin tidak mampu mendapatkan perlindungan secara persendirian.-UTUSAN
DR. LU MING PEY
Pensyarah, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM)
The post Bantuan kewangan pemangkin kesejahteraan appeared first on Utusan Malaysia.






