
Rob Reiner & Isteri Ditemui Maut Dalam Rumah, Polis Tahan Anak Lelaki
Los Angeles — Pengarah Hollywood, Rob Reiner dan isteri, Michele Singer Reiner yang ditemui maut di rumah disyaki telah ditikam oleh anak lelaki mereka.
Memetik laporan AFP, Nick Reiner yang berusia 32 tahun telah ditahan oleh Polis Los Angeles atas tuduhan membunuh beberapa jam selepas kedua-dua mayat ditemui di kejiranan mewah Brentwood pada Ahad.
Suspek yang mempunyai sejarah penyalahgunaan bahan terlarang sejak zaman remaja didakwa telah bertengkar dengan ibu bapanya di sebuah pesta Hollywood yang mewah pada petang Sabtu.
TMZ melaporkan bahawa kedua-dua mayat telah ditemui oleh anak perempuan pasangan itu, yang memberitahu polis bahawa seorang lagi ahli keluarga telah membunuh mereka.
Sementara itu, kenalan Rob mengucapkan takziah dan berduka dengan pemergian pengarah berbakat itu.
BACA: Pelakon Lagenda Hollywood, Kirk Douglas Meninggal Dunia Pada Usia 103 Tahun
Pelakon dan pengarah, Ben Stiller memberikan penghormatan kepada Rob dengan berkata bahawa mendiang seorang insan yang baik hati, penyayang dan lucu.
Bekas presiden, Barack Obama turut berduka cita dan terkejut dengan berita kematian tersebut.
“Di sebalik semua cerita yang beliau hasilkan, terdapat kepercayaan yang mendalam terhadap kebaikan manusia,” katanya di laman X.
Reiner memulakan kerjaya hiburannya dalam bidang lakonan dan terkenal dalam sitkom “All in the Family” pada tahun 1970-an sebelum beralih kepada bidang pengarahan.
Sebagai pengarah, dia berjaya mencipta nama di Hollywood menerusi filem-filem klasik seperti “This is Spinal Tap” (1984), “Stand By Me “(1986), “The Princess Bride” (1987) dan “A Few Good Men” (1992).
Bagi “A Few Good Men”, karya yang dibintangi oleh Tom Cruise dan Jack Nicholson itu telah memenangi pencalonan Oscar untuk Filem Terbaik.
Sumber: AFP
The post Rob Reiner & Isteri Ditemui Maut Dalam Rumah, Polis Tahan Anak Lelaki appeared first on Siakap Keli.


