Pada pertengahan tahun lepas, syarikat teknologi pengguna DJI telah memperkenalkan robot vakum pertama mereka yang dinamakan DJI ROMO untuk pasaran China, dimana beberapa bulan selepas itu, ia turut diperkenalkan untuk beberapa pasaran secara global.
Setengah tahun kemudian, DJI Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa DJI Romo akhirnya akan memasuki pasaran tempatan. DJI ROMO merupakan robot vakum dua dalam satu yang boleh menyedut habuk dan mengemop lantai pada masa yang sama.

Ia dilengkapi dengan sensor penglihatan binocular dan tiga lidar sudut lebar yang membolehkannya mengenal pasti serta mengelak objek nipis seperti kad atau kabel yang lebih tebal daripada 2mm dan tampil dengan kuasa sedutan hingga 25000 Pascal untuk pembersihan yang menyeluruh.

Robot ini mampu beroperasi sehingga tiga jam yang meliputi kawasan seluas 178-meter persegi dan mengambil masa 2.5 jam untuk dicas penuh. Ia berfungsi dalam suhu sehingga 40°C dan dilengkapi tangki air 164ml yang boleh melaras isi padu secara automatik mengikut tahap kekotoran. Mop akan terangkat secara automatik apabila mengesan permaidani.
Pengguna juga boleh mengawal Romo dari jauh melalui telefon pintar, termasuk melihat keadaan rumah dan berkomunikasi bersama ahli keluarga. Terdapat tiga model ditawarkan iaitu Roma P dengan rekaan lut cahaya dan dermaga khas, serta Romo S dan ROMO A yang lebih asas dengan penutup putih.

Hari ini, DJI Malaysia mengumumkan bahawa ketiga-tiga siri robot vakum DJI ROMO akan mula ditawarkan di pasaran Malaysia. DJI ROMO P akan dijual pada h, arga RM5499, DJI ROMO A pada harga RM4799, manakala DJI ROMO S pula akan ditawarkan pada harga RM3999.
Perbezaan diantara model-model ini hanya dilihat melalui estetika rangka lutsinar pada model-model ROMO P dan ROMO A, manakala ROMO S mempunyai rekaan rangka berwarna putih pada kedua-dua vakum dan dermaga pengecasan dan pembersihan. Model ROMO P juga hadir dengan fungsi pembasmi bau hapak untuk lantai.





