
BARCELONA – Juara La Liga, Barcelona akhirnya melunaskan ‘hajat’ selepas berjaya menandatangani Rodri apabila Manchester City menerima tawaran £65.4 juta (RM361.96 juta) yang mereka kemukakan semalam.
Pemain berusia 30 tahun itu dikatakan sudah mencapai persetujuan kontrak selama empat tahun bersama The Catalans dan dijangka tiba ke Barcelona hari ini bagi melengkapkan proses perpindahan termasuk ujian perubatan.
Rodri meninggalkan City selepas tujuh musim penuh gemilang di Stadium Etihad dengan membantu kelab itu meraih 12 trofi utama termasuk empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Piala FA, tiga Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara.
Bekas pemain Atletico Madrid itu menyertai City pada 2019 dengan nilai perpindahan £62.8 juta (RM343 juta) dan sudah membuat 298 penampilan sepanjang berada di Manchester.
Kini, skuad kendalian Enzo Maresca terpaksa mencari pengganti dengan mengalihkan perhatian kepada pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez yang diletakkan dengan tanda harga sekitar £120 juta (RM671 juta).
The Blues sebelum ini memberi tempoh sehingga Jumaat lepas kepada mana-mana kelab berminat untuk mengemukakan tawaran rasmi, namun tiada bidaan diterima selepas tarikh tersebut.
Namun, City percaya pintu rundingan masih terbuka sekiranya mereka sanggup memenuhi tuntutan harga berkenaan sekali gus bakal menjadikan Fernandez sebagai pemain empat termahal dalam sejarah perpindahan bola sepak dunia. – AGENSI
The post Rodri akhirnya milik Barcelona appeared first on Kosmo Digital.



