Rodri taruhan Barcelona buru hatrik La Liga

Football
22 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rodri taruhan Barcelona buru hatrik La Liga

BARCELONA: Rodri menjadi taruhan baharu Barcelona untuk mempertahankan kejuaraan La Liga buat kali ketiga berturut-turut apabila saingan musim baharu bermula di Elche, esok.

Selepas dua musim berjaya di bawah kendalian Hansi Flick, Barcelona melakukan perubahan besar dengan menjadikan Rodri sebagai taruhan utama untuk memperkukuhkan bahagian tengah yang menjadi antara kelemahan mereka sejak jurulatih Jerman itu tiba pada 2024.

Pemenang Piala Dunia itu hadir dari Manchester City dengan reputasi sebagai pemain tengah bertahan terbaik dunia dan pengalaman menjulang trofi utama, sekali gus diharapkan mampu membantu Barcelona menamatkan penantian kejuaraan Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada 2015.

“Saya di sini untuk bersaing merebut segala-galanya, termasuk perkara besar seperti Liga Juara-Juara,” kata Rodri selepas diperkenalkan sebagai pemain baharu Barcelona.

Bagaimanapun, tugas Flick bukan sekadar memperkemas pertahanan kerana kehilangan Robert Lewandowski dan Ferran Torres turut memaksa beliau merombak jentera serangan yang sebelum ini menjadi nadi kekuatan pasukan.

Kehadiran Anthony Gordon dan Karim Adeyemi memberikan Barcelona pilihan baharu untuk permainan berintensiti tinggi, namun persoalan utama kekal siapa yang akan mengisi kekosongan penyerang tengah selepas usaha mendapatkan Julian Alvarez tidak berhasil.

Barcelona kini mempunyai beberapa pilihan dalaman seperti Dani Olmo, Raphinha, Gordon dan Adeyemi yang mampu beroperasi sebagai ‘false nine’, selain masih berusaha mendapatkan penyerang baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Dalam masa sama, tumpuan besar terus terarah kepada sensasi remaja, Lamine Yamal yang kini menjadi tonggak utama serangan Barcelona pada usia baru 19 tahun.

Namun, kemunculan semula Mourinho di Madrid selepas lebih sedekad dijangka menjadikan persaingan El Clasico lebih panas, dengan Real Madrid turut memperkukuh skuad bagi merampas kembali kejuaraan La Liga.

Barcelona membuka kempen menentang Elche awal pagi Isnin ini, sehari selepas Real Madrid bertandang ke Espanyol, dengan Flick sedar musim ketiganya di Sepanyol mungkin menjadi ujian paling mencabar setakat ini dalam usaha memburu kejayaan domestik dan Eropah.-AGENSI

The post Rodri taruhan Barcelona buru hatrik La Liga appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved