
BARCELONA – Penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres dilaporkan semakin terdesak untuk menyertai Barcelona apabila dikatakan menawarkan dirinya kepada kelab Sepanyol itu hampir setiap hari menjelang penutupan jendela perpindahan musim panas.
Barcelona kini giat mencari penyerang baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Robert Lewandowski yang menyertai Chicago Fire, namun beberapa sasaran utama mereka gagal diperoleh termasuk bintang Atletico Madrid, Julian Alvarez.
Pengarah Sukan Barcelona, Deco terpaksa meneliti beberapa pilihan lain selepas Atletico menegaskan Alvarez tidak akan dijual kepada seteru mereka, manakala Sporting Lisbon pula menuntut klausa pelepasan €80 juta (RM337 juta) untuk Luis Suarez.
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez turut muncul sebagai calon utama, tetapi usaha itu dijangka sukar direalisasikan apabila kapten kelab Itali berkenaan dianggap sebagai pemain yang tidak akan dijual dan masih memiliki kontrak tiga tahun.
“Lautaro Martinez kini menjadi pilihan utama Barcelona dengan persetujuan seluruh kelab. Semalam, kelab sekali lagi dimaklumkan bahawa Atletico tidak akan membenarkan Julian Alvarez pergi.
“Gyokeres menawarkan dirinya kepada Barcelona setiap hari. Nicolo Tresoldi juga merupakan pemain yang sangat disukai Barcelona,” menurut satu laporan.
Gyokeres melalui musim pertama kurang memberangsangkan bersama Arsenal biarpun The Gunners berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Barcelona benar-benar bersedia menjadikannya penyelesaian kepada masalah jentera serangan mereka. – AGENSI
The post Gyokeres ‘rayu’ Barcelona tawar kontrak appeared first on Kosmo Digital.





