Rogol, Amang Seksual Remaja Lelaki: Abuya Berdepan 6 Lagi Pertuduhan

LocalPolitics
21 Sep 2025 • 1:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Ketua sebuah pusat pengajian agama di Kelantan, yang dikenali sebagai ‘Abuya’, dijangka berdepan enam lagi pertuduhan baharu berhubung kes penderaan seksual terhadap remaja lelaki.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan yang dihadapinya meningkat kepada 15.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 46 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen selepas siasatan terhadap aduan terbaharu selesai dan pihak polis menerima arahan pendakwaan.

“Setakat ini, tertuduh sudah berdepan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas minggu lalu melibatkan serangan seksual terhadap seorang pelajar lelaki serta pemilikan bahan pornografi,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Awal minggu ini, suspek turut berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu melibatkan perbuatan sama terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun.

Menurut Mohd Yusoff, tertuduh kini dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM63,000, masing-masing RM45,000 bagi kes di Kelantan dan RM18,000 bagi kes di Terengganu.

“Terbaharu, polis sekali lagi menahan suspek selepas menerima laporan seorang lagi mangsa remaja di lokasi sama. 

“Enam lagi pertuduhan baharu dijangka difailkan dalam masa terdekat,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Getaran difahamkan, suspek mempunyai pengaruh besar dalam kalangan usahawan tempatan dan pengikut dalam talian, selain sering menampilkan dirinya sebagai seorang tokoh agama yang dihormati.

Susulan kes, polis turut menggesa mana-mana individu lain yang mungkin pernah menjadi mangsa tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. - Getaran, 21 September 2025