
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini pendakwah bebas, ‘Ustaz Fathi Naim’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Klang atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual serta melakukan hubungan seksual dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari 2022.
Ustaz Fathi atau nama penuhnya Muhammaf Fathi Na’im Mazlam didakwa melakukan kesemua perbuatan terbabit di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire di hadapan sebuah surau dan di parkir Dataran Eco World selain di dalam sebuah hotel di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam, lapor Astro Awani.
Penceramah bebas dihukum penjara 15 tahun dan 3 sebatan
Terbaharu, Fathi dihukum penjara 15 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja berusia 13 tahun pada empat tahun yang lalu.
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati Fathi gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaaan.
“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” ujar hakim, lapor Free Malaysia Today yang memetik Bernama.
Hukuman penjara untuk ketiga-tiga hukuman dijalankan serentak bermula hari ini
Susulan itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta satu sebatan untuk setiap tuduhan dengan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula 18 September.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama serta kedua, Fathi didakwa merogol remaja perempuan berkenaan di dalam sebuah kenderaan di sebuah lokasi di Bandar Baru Puncak Alam jam 3 dan 7 petang, pada awal Julai dan 27 Julai 2021.
Tertuduh yang juga bapa kepada lapan orang anak didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun serta sebatan.
Selain itu, Fathi turut didakwa atas satu lagi tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan sama di tempat sama pada Jun 2021, di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nur ‘Ayuni Jamri turut memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum terhadap Fathi.
“Perbuatannya yang sanggup merogol seorang kanak-kanak di bawah umur menunjukkan dia tidak mengendahkan undang-undang dan hukum agama.
“Dia juga tidak mempunyai sifat ihsan serta belas kasihan terhadap kanak-kanak itu dan sanggup mengambil kesempatan terhadap mangsa,” jelasnya.
Selain Nur ‘Ayuni kes turut dikendalikan bersama Nurul Jannah Aimi serta Nurul Izzati Mohamad.
Minta hukuman diringankan namun ditolak mahkamah
Fathi yang tidak diwakili peguam itu turut merayu agar hukuman ringan diberikan atas alasan mempunyai sakit cakram gelincir atau dikenali sebagai slipped disc selain perlu menanggung seramai tiga isteri dan lapan orang anak yang masih kecil serta bersekolah.
Walau bagaimanapun rayuannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara ditolak oleh mahkamah.
Source:

