Rogol Anak Kandung: Bapa Dipenjara 21 Tahun, Sebat 20 Kali

28 Jul 2026 • 8:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Rogol Anak Kandung: Bapa Dipenjara 21 Tahun, Sebat 20 Kali

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 50 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 21 tahun serta 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan serangan seksual terhadap anak kandungnya yang masih remaja.

Hakim Roslinda Razali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 20 tahun dan 18 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3 pagi pada 1 Mac lalu di sebuah rumah tanpa nombor di Batu 21, Sandakan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa di lokasi dan waktu yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan.

Selain itu, Hakim Roslinda turut mengenakan hukuman penjara tambahan selama setahun dan dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman tambahan selepas sabitan. 

Hukuman tambahan tersebut diarahkan berjalan berasingan daripada hukuman penjara yang lain.

Berdasarkan fakta kes, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan.

Ibu mangsa dilaporkan cuba menghalang tindakan tertuduh, namun telah diserang sehingga menyebabkan wanita itu bimbang terhadap keselamatan dirinya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada keesokan hari, yang membawa kepada penahanan tertuduh. - Getaran, 28 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved