
KOTA BHARU – Isu berkenaan etnik Rohingya yang semakin berleluasa ketika ini tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri semata-mata kerana penguatkuasaan berkaitan komuniti itu turut melibatkan bidang kuasa agensi Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan mengikut bidang kuasa tertentu, khususnya berkaitan pelanggaran syarat tanah, binaan tanpa kelulusan dan pematuhan lesen perniagaan.
Katanya, status etnik Rohingya juga melibatkan mereka yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Jadi, jangan letakkan beban isu etnik Rohingya kepada kerajaan negeri kerana ini adalah isu negara. Bidang kuasa kita adalah mengambil tindakan terhadap premis atau sewa tanah yang tidak mengikut syarat, seperti yang berlaku di Tanah Merah membabitkan tanaman sireh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, Jabatan Imigresen juga mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menahan pendatang tanpa izin (PATI) yang melakukan kesalahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri mengarahkan semua Pejabat Tanah dan Jajahan mengumpul data etnik Rohingya di Kelantan bagi mengetahui jumlah sebenar komuniti berkenaan.
Katanya, setakat ini, kerajaan negeri memperoleh maklumat mengenai 300 individu daripada 80 keluarga etnik Rohingya yang menetap di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah, dengan mengusahakan tanaman sireh di kawasan seluas dua hektar.
“Mengenai etnik Rohingya yang tinggal Tanah Merah yang menjadi isu ketika ini, kita mengarahkan semua Ketua Jajahan mengumpul data warga terlibat untuk mengetahui jumlah sebenar sebagai langkah persediaan bagi menangani sebarang isu komuniti terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rohingya: Jangan letak beban atas bahu kerajaan negeri Kelantan appeared first on Kosmo Online.






