
KOTA BHARU: Pas mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi punca gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai kedua-dua buah parti itu dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Bersatu sentiasa bersikap tikam belakang dan tidak menolak kemungkinan pimpinan Bersatu mempunyai hubungan baik dengan RoS selain dengan pimpinan kerajaan sekarang menyebabkan jabatan berkenaan memihak kepada mereka.
“Saya tegaskan di sini, Bersatu menyebabkan PN terjejas kerana parti itu sentiasa menikam belakang.
“Bila berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Bersatu mahu bertanding sebanyak mungkin kerusi dengan menggunakan logo PN dan kita beri, namun semua kerusi yang bertanding itu kalah,” katanya semasa berucap pada program Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) Parlimen Kubang Kerian di Pasir Tumboh, di sini malam tadi.
Beliau berkata, menjelang PRN Negeri Sembilan pula, BN memberikan 11 kerusi kepada PN dan gabungan itu sebenarnya ada berbincang untuk pengagihan kerusi termasuk untuk diberikan kepada Bersatu.
“Namun parti itu sentiasa bergolak dan sehari sebelum mesyuarat dilakukan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan bertanding 24 kerusi dengan menggunakan logo parti mereka, bukannya PN. Jadi, apa mungkin kita masih memanggil mereka untuk mesyuarat sedangkan beliau sudah memaklumkan untuk bertanding tanpa menggunakan logo PN,” katanya.
Takiyuddin berkata, susulan itu, pimpinan Bersatu membuat laporan kepada RoS berhubung PN melanggar perlembagaannya apabila menafikan hak parti itu untuk menghadiri mesyuarat tertinggi.
Terdahulu media melaporkan, RoS mengesahkan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu. – UTUSAN
The post Bersatu punca pendaftaran PN dibatalkan appeared first on Utusan Malaysia.






