
PETALING JAYA: Konflik antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memasuki episod baharu selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), semalam.
PN yang kini berusia kira-kira enam tahun sejak didaftarkan pada 7 Ogos 2020 berkubur selepas 10 bulan Pas menerajui gabungan itu.
Bersatu melihat pembatalan PN sebagai cerminan kegagalan Pas mengurus berlandaskan prinsip demokrasi, ketelusan dan tadbir urus yang baik, selain cuba mengambil alih gabungan itu sehingga mengetepikan hak parti komponen.
Pas pula menyatakan ia sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini susulan pembatalan dibuat dua hari sebelum pendengaran permohonan menangguhkan notis ketidakpatuhan dan menggantung aktiviti PN oleh RoS di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur esok.
RoS memaklumkan, penjelasan yang dikemukakan PN tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.
Katanya, keputusan dibuat selepas meneliti dokumen dan maklum balas PN yang diterima pada 12 Oktober lalu.
Menurut RoS, notis bertarikh 22 September 2026 dikeluarkan kepada PN di bawah Subseksyen 13 (2) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi memberi peluang kepada gabungan itu mengemukakan penjelasan dan representasi.
Bagaimanapun, katanya, alasan diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis berkenaan.
“PN juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” katanya.
RoS berkata, keputusan pembatalan dibuat di bawah Subperenggan 13 (1) (c) (iv) Akta 832.

Dalam pada itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembatalan pendaftaran PN menjelang pengisytiharan calon PRN Melaka bermotifkan ketakutan terhadap gabungan itu.
Beliau menyifatkan tindakan membatalkan pendaftaran sebelum kes dibawa ke mahkamah sebagai sesuatu yang luar biasa.
Katanya, tambahan pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghantar surat kepada PN dua hari lalu untuk mendapatkan maklum balas berhubung penggunaan logo gabungan itu.
“Ingatlah, gelombang rakyat tidak akan mudah padam dengan tindakan orang politik yang berselindung di sebalik kuasa.
“Apatah lagi mana-mana individu politik yang menjadikan ‘akan diusahakan pengharaman ini’ sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk bersama pihak yang kami hadapi dalam pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kuasa dan kedudukan dalam gabungan tidak boleh disalah guna untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menjejaskan tujuan dan matlamat asal penubuhan.
Beliau berkata, pembatalan pendaftaran PN menjadi peringatan kepada pemimpin gabungan politik supaya bertindak adil terhadap semua parti anggota.
Katanya, pihak yang memimpin sesebuah parti gabungan juga hendaklah sentiasa mematuhi perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.
“Sebagai pengasas parti PN, saya berduka atas keputusan pembatalan pendaftaran PN,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN akan mencabar keputusan pembatalan itu, termasuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata, tindakan mencabar itu akan dimulakan dengan memasukkan permohonan dalam sesi pendengaran permohonan di Mahkamah Tinggi esok.
Katanya, rayuan perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan RoS, selain Menteri Dalam Negeri melalui Seksyen 8 Akta 832 yang boleh mengesahkan, menolak atau mengubah keputusan pendaftar dengan ia adalah muktamad.
“Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 memberikan hak rayuan kepada mana-mana pertubuhan tempatan, pemegang jawatan, anggota atau pihak terkilan dengan keputusan RoS kepada Menteri Dalam Negeri.
“Justeru, PN akan mencabar kesahihan perintah pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah.
“PN juga menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan ini berhubung pendirian Jabatan Peguam Negara di mahkamah ketika pendengaran permohonan penangguhan PN, Khamis ini,” katanya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berpendapat, Pas dan sekutunya kini cuba memberi gambaran seolah-olah mereka adalah mangsa politik dan meraih simpati menjelang PRN Melaka.
Katanya, kepemimpinan PN yang mengetepikan amalan urus tadbir yang baik dan telus, telah menimbulkan keadaan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman dan tekanan untuk melucutkan keanggotaan serta menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah.
Ujarnya, ia dibuat melalui kuasa veto oleh individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN.
“PN tidak boleh dibenarkan menjadi tempat berteduh kumpulan yang rakus kuasa politik dan cuba rampas (hijack) jenama gabungan itu yang sederhana, progresif serta cakna terhadap rakyat Malaysia.
“Hentikan propaganda dan politik identiti yang melampau. Hakikatnya, Pas gagal mengurus sebuah organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan.
“Keputusan hari ini sekali gus membuktikan bahawa Bersatu berada di pihak yang benar untuk menyelamatkan PN. Sesungguhnya, mengetepikan kebenaran adalah perbuatan yang tercela,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari 2026.
Ia kemudian disusuli Mohamed Azmin yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama.
Selepas itu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada Februari lalu.
Esok, permohonan inter-partes (kedua-dua pihak) PN untuk mencabar tindakan RoS yang mengeluarkan notis berhubung cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi. – UTUSAN
The post PN berkubur appeared first on Utusan Malaysia.






