
Bintang Singapura, Roziana Cindy mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi pertama dari negara republik itu yang berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda menerusi lagu Paling Sejati.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ade itu adalah bukti dedikasi Roziana dalam menghasilkan karya muzik yang mendalam, merangkumi emosi tulus dan pengalaman hidup, sekali gus menggambarkan gabungan harmoni antara seni Singapura dan Indonesia.
Istimewanya, Roziana yang juga seorang personaliti TV di Singapura, adalah Penerbit Eksekutif untuk lagu dan muzik video Paling Sejati yang mana single sulungnya itu turut dilancarkan di negara ini sebagai usaha menembusi pasaran muzik tempatan.
Dihasilkan dan diiringi susunan muzik yang indah, Paling Sejati menggabungkan elemen balada moden dengan sentuhan nyanyian tenang, tradisional, memberikan pengalaman audio yang unik kepada pendengar. Lagu ini juga menonjolkan keupayaan Roziana untuk membawa emosi dalam setiap bait lirik.
Menurut Roziana, lagu Paling Sejati mengupas keindahan cinta sejati dan rasa syukur, serta menggambarkan jalinan emosi dan ikatan yang tulus.
“Dalam melodi yang penuh perasaan ini, setiap liriknya seolah-olah menggambarkan jalinan emosi yang kuat dan ikatan yang tidak tergoyahkan antara dua hati. Lagu ini mampu membawa pendengar menyelami lautan kasih sayang yang dalam, di mana setiap baitnya mencerminkan pengalaman cinta yang murni dan abadi..

