SHAH ALAM - Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) menzahirkan kebimbangan serius terhadap definisi “pekerja gig” yang bakal diperkenalkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
RPK dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan penelitian pihaknya, definisi pekerja gig dalam akta berkenaan turut merangkumi golongan pemastautin tetap (PR).
Menurut persatuan itu, perkara berkenaan berpotensi menjejaskan keutamaan peluang pekerjaan serta mengancam kelangsungan sumber pendapatan pekerja tempatan yang bergantung kepada sektor berkenaan untuk menyara keluarga.
“RPK berpendirian tegas bahawa perkara ini berpotensi menjejaskan keutamaan peluang pekerjaan serta mengancam kelangsungan sumber pendapatan pekerja tempatan yang bergantung harap kepada sektor ini untuk menyara keluarga.
“Pihak kerajaan seharusnya meletakkan keutamaan kepada anak watan dalam dasar-dasar yang melibatkan sektor ekonomi gig,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Dalam masa sama, RPK turut membangkitkan isu perundangan, khususnya kemungkinan berlakunya pertindihan bidang kuasa antara Akta 872 yang baharu itu dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan mengharmonikan kedua-dua akta berkenaan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan serius dari segi pengawalseliaan industri serta menyukarkan pelaksanaan dasar di lapangan pada masa akan datang.
Selain itu, RPK turut menyatakan rasa kecewa kerana sehingga kini tiada sebarang sesi libat urus rasmi diadakan bersama pihak mereka.
Walaupun RPK secara sah mewakili komuniti penghantar di peringkat negeri, persatuan itu mendakwa suara mereka seolah-olah dipinggirkan.
“Keadaan ini secara langsung menimbulkan persoalan yang serius mengenai tahap keterangkuman dan ketelusan dalam proses perundingan dasar oleh pihak berwajib.
“Adalah amat tidak wajar apabila pihak seperti kami, yang terlibat secara langsung dalam operasi harian industri, tidak diberikan ruang yang sewajarnya untuk menyuarakan pandangan dan memberikan maklum balas sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, RPK menggesa agar pelaksanaan akta berkenaan ditangguhkan sementara ruang perbincangan yang lebih adil dan telus dibuka kepada semua persatuan di pelbagai peringkat.
Menurut persatuan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan serta masa depan pekerja p-hailing dan e-hailing di negara ini terus terjamin.
Kenyataan media RPK muncul kerana Akta Pekerja Gig 2025 hampir dikuatkuasakan, dan komuniti penghantar mula memberi reaksi terhadap beberapa perkara dalam akta itu.
Akta itu adalah bertujuan memperkukuh perlindungan sosial kepada pekerja gig selain memastikan pengurusan industri lebih tersusun melalui pemantauan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, pelaksanaan akta tersebut turut menimbulkan beberapa perdebatan dalam kalangan komuniti pekerja gig, termasuk berhubung definisi pekerja gig yang merangkumi pemastautin tetap serta kebimbangan kemungkinan pertindihan dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Selain itu, sebahagian persatuan penghantar turut mempersoalkan tahap libat urus dengan komuniti pekerja gig sebelum pelaksanaan akta berkenaan.
