MyGiG desak kerajaan gugurkan pengiktirafan PR sebagai pekerja gig

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fairuz

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) digesa supaya menggugurkan pengiktirafan pemastautin tetap (PR) sebagai pekerja gig di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) bagi melindungi kepentingan lebih 1.2 juta rakyat di negara ini yang bekerja dalam sektor berkenaan.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Fairuz Jamaludin berkata, dasar dan kerangka perundangan yang utuh bukan sekadar instrumen untuk mengawal selia industri, malah ia wajib berfungsi sebagai perisai yang melindungi hak rakyat Malaysia agar terus menjadi pemain utama ekonomi bagi industri tersebut di tanah air sendiri.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik komitmen kerajaan melalui kementerian terlibat dalam mempercepatkan pelaksanaan akta berkenaan yang bertujuan memperkukuh perlindungan dan kebajikan kumpulan pekerja itu.

"MyGiG mendapati terdapat satu kelompongan kritikal dalam peruntukan akta tersebut yang berisiko menggugat kelangsungan hidup pekerja gig warganegara Malaysia. Kelompongan ini dipercayai berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan kurangnya penelitian komprehensif semasa sesi libat urus awal sebelum tampuk kepimpinan Kesuma yang baharu mengambil alih.

"MyGiG membantah keras takrifan dalam Akta 872 yang memberi pengiktirafan kepada PR sebagai pekerja gig. Perkara ini jelas bertentangan dengan dasar sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang menetapkan bahawa hanya warganegara Malaysia dibenarkan beroperasi sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

"Sehubungan itu, Kesuma digesa memperhalusi dan meminda semula peruntukan bermasalah di dalam Akta 872 ini dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Akta 872 diwartakan pada 31 Disember tahun lalu selepas mendapat Perkenan Diraja, menurut kenyataan Kesuma.

Menerusi kenyataan itu, Kesuma memaklumkan akta berkenaan dijadual berkuat kuasa pada penghujung Mac 2026 dan dilihat sebagai langkah besar dalam memperkukuh perlindungan serta kebajikan komuniti pekerja gig di negara ini.

Mengulas lanjut, Fairuz berkata, pengiktirafan kepada PR juga berpotensi menjejaskan kestabilan kadar tambang dan upah dalam sektor ekonomi gig yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada mekanisme penawaran dan permintaan.

Beliau menambah, sekiranya status itu diiktiraf, ia bakal mencetuskan lambakan penawaran, sekali gus membolehkan syarikat pengendali platform mempunyai ruang untuk terus memanipulasi dan menekan kadar tambang serta upah yang sudah sedia rendah ke paras yang lebih tidak munasabah.

"Memandangkan tarikh penguatkuasaan Akta 872 dijangka bermula pada penghujung Mac 2026, masa semakin suntuk. MyGiG menggesa agar Kesuma dan Kementerian Pengangkutan (MOT) duduk semeja untuk menyelaraskan akta ini agar tiada pertindihan bidang kuasa.

"MyGiG bersetuju dan menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dalam masa terdekat sebagai badan kawal selia ekosistem industri gig di Malaysia," katanya.

Fairuz dalam masa sama menegaskan, pihaknya kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak kementerian melalui sesi libat urus bagi mencari titik pertemuan yang terbaik demi masa depan pekerja gig tempatan.