
RPN 2026-2035: Rancangan Satu Dekad Pendidikan Bersepadu Negara Bakal Diluncurkan Esok
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, iaitu pelan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Peluncuran RPN 2026–2035 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari 2026 (esok) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pelaksanaan rancangan ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
RPTM 2026–2035 jadi hala tuju pendidikan tinggi
Di peringkat KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 berperanan sebagai dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
RPTM ini merupakan kesinambungan serta pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).
RPTM 2026–2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar yang melibatkan 181 pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan. Ini termasuk para sarjana, tokoh akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Pelan ini bersifat dokumen dinamik (living document) yang fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.
Fokus utama turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara (nation-builders) yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.
Selain itu, integrasi teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan.
Pada masa yang sama, RPTM 2026–2035 memberi penekanan kepada keterangkuman akses dengan usaha memperluas pendidikan tinggi serta memperkasa peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau.
RPM 2026–2035 pandu pembangunan pendidikan sekolah
Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui KPM akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara. Ini selaras dengan Visi KPM: Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.
RPM 2026–2035 digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi.
Pelaksanaannya menekankan peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.
Pelaksanaan bersepadu, pembangunan modal insan berterusan
Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dan RPM 2026–2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa.
Pendekatan ini bertujuan memastikan kesinambungan pembangunan modal insan yang berterusan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
BACA: Pempengaruh Media Sosial Perlu Isytihar Semua Pendapatan
Sumber: KPT
The post RPN 2026-2035: Rancangan Satu Dekad Pendidikan Bersepadu Negara Bakal Diluncurkan Esok appeared first on Siakap Keli.


