RS-2 jadi kompas agenda pembangunan Selangor: MB

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 10:27 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RS-2 jadi kompas agenda pembangunan Selangor: MB

SHAH ALAM, 30 JULAI: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan menjadi dokumen pembangunan strategik dan kompas kepada agenda pembangunan negeri bagi tahun-tahun mendatang, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata RS-2 bukan sekadar pelan pembangunan, sebaliknya rangka tindakan menyeluruh yang akan memandu dasar ekonomi, kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan transformasi digital di negeri ini.

“Selain itu, mengukuhkan tadbir urus demi memastikan Selangor terus kekal sebagai peneraju ekonomi negara. Saya berharap pembentangan RS-2 pada sidang Dewan Negeri (5 Ogos) akan mendapat sokongan semua Ahli Dewan.

“Saya juga mengalu-alukan perbahasan yang matang, konstruktif dan berteraskan fakta agar setiap pandangan dapat memperkukuh kandungan RS-2 demi memastikan perancangan pembangunan Selangor benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diperkenalkan pada 2022 menjadi pelan pembangunan lima tahun negeri bagi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kelestarian alam sekitar serta menambah baik tadbir urus sehingga 2025.

Image from: RS-2 jadi kompas agenda pembangunan Selangor: MB
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mempengerusikan Taklimat Rang Undang-Undang dan Mesyuarat Pra-Majlis sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2026 di Shah Alam pada 29 Julai 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Di bawah RS-1, sebanyak 282 projek, program dan inisiatif (PPI) diperkenalkan dengan 79 peratus daripadanya berjaya dilaksanakan sepenuhnya setakat 31 Disember 2025.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan Taklimat Rang Undang-Undang dan Mesyuarat Pra-Majlis sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2026 sebagai persiapan menghadapi persidangan Dewan Negeri yang akan berlangsung minggu depan.

Mengulas lanjut, Amirul memaklumkan mesyuarat itu penting bagi menyelaras pendirian Kerajaan Negeri terhadap rang undang-undang yang akan dibentangkan, selain memperincikan agenda dan dasar utama yang bakal dibahaskan.

“Penyelarasan ini memastikan setiap keputusan yang dibawa ke Dewan Negeri berlandaskan penelitian yang menyeluruh, mengambil kira kepentingan rakyat serta hala tuju pembangunan Selangor,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved