
SHAH ALAM, 7 OGOS: Misi pertama Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang menjadi tulang belakang kerangka pembangunan negeri sehingga 2030 menumpukan lima sektor utama melibatkan 13 inisitif bagi memacu lagi perkembangan ekonomi negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata merangkumi bidang elektrik dan elektrikal, aeroangkasa dan automatik, ekonomi digital dan ekonomi kreatif, misi itu menyasarkan nilai ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.1 peratus menjelang 2030.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, ia juga bertujuan memperkukuh pelaburan terutama daripada sumber domestik dengan sasaran RM330 bilion secara keseluruhan serta mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus dalam tempoh sama.
“Menjelang 2030, Selangor akan menjadi hab industri maju dan inovasi. Peningkatan produktiviti melalui automasi akan memastikan daya saing kos dan pertumbuhan upah mampan.
“Sokongan strategik kepada syarikat tempatan akan memperdalam hubungan rantaian bekalan, mempelbagaikan pengeluaran bernilai tinggi dan mengurangkan kebergantungan import sekali gus mengekalkan pertumbuhan ekonomi kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentang RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
RS-2 merupakan kerangka pembangunan negeri bagi tempoh 2006-2030, dengan menetapkan enam misi merangkumi 25 bidang dengan menggerakkan 98 inisiatif.
Semalam Amirudin berkata racangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi secara makro serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah.
Menurutnya kejayaan ekonomi Selangor tidak hanya diukur berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata, sebaliknya melalui peningkatan kualiti hidup rakyat yang berteraskan konsep kehidupan wajar dan bermaruah.
Katanya, pendekatan itu sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri memperluas konsep kehidupan bermaruah sebagai penanda aras baharu dalam merangka dasar pembangunan dan pembasmian kemiskinan.






